Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan langkah kerajaan negeri memperkenalkan empat pakej rangsangan berjaya mengelakkan ekonomi Selangor terus merundum sepanjang pandemik Covid-19.
Ketika sesi pertanyaan lisan Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-14, beliau berkata perkara itu terbukti menerusi penurunan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri yang hanya mencatatkan negatif 5.3 peratus pada tahun lalu berbanding KDNK Malaysia yang merekodkan negatif 5.6 peratus dalam tempoh sama.
“Kalau kita melihat kepada graf ekonomi Selangor, biasanya kita akan melihat Selangor akan mencatatkan penurunan yang lebih besar sekiranya Kerajaan Persekutuan mencatatkan penurunan dalam kadar tertentu.
“Namun, beberapa langkah telah diperkenalkan seperti membenarkan sektor perlu (essential service), mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokaliti tertentu sahaja membolehkan kejayaan itu seterusnya luar norma ekonomi yang dicatatkan sebelum ini,” katanya.
Pada masa sama, Amirudin berkata, pakej Selangor Prihatin 1,2 dan 3 serta Kita Selangor 2.0 telah menunjukkan indikasi positif dalam membantu pihak yang berada dalam sektor ekonomi untuk bangkit semula.
“Contoh, Program Selangor Advance berjaya membantu lebih 900 syarikat dan lebih 50,000 pekerja yang berkemungkinan diberhentikan oleh majikan mereka.
“Selain itu, program inisiatif seperti Platform Selangor (PLATS) dan Selangor e-Bazar telah membantu lebih 70,000 syarikat mikro serta pengusaha kecil sederhana (PKS) dan kesan riak (ripple effect) sebanyak lebih RM1 bilion,” katanya.
Comments