
Empat calon Pakatan Harapan (PH) dan BN di Selangor akan memfailkan petisyen membantah keputusan Pilihan Raya Negeri 12 Ogos lalu.
Keempat empat calon berkenaan ialah calon DUN Taman Medan, Ahmad Akhir Pawan Chik yang kalah majoriti 30 undi; calon Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni kalah 167 undi; calon DUN Dengkil Noorazli Said kalah 407 undi; dan calon Gombak Setia Datuk Megat Zulkarnain Omardin kalah 58 undi.
Menurut Ahmad Akhir, pihaknya sedang mengumpul dokumen berkaitan untuk diserahkan kepada peguam sebelum surat permohonan atau rayuan dikemukakan.
"Kami akan failkan bantahan dalam tempoh dua minggu," katanya dipetik Selangorkini.
Dua lagi calon BN Megat Zulkarnain dan Norazli turut membuat tindakan sama dengan mengumpul bukti untuk diserahkan kepada mahkamah bagi pertimbangan sewajarnya.
Sebelum ini, Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari mempertimbang untuk memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan beberapa kerusi dimenangi PN dengan majoriti rendah.