Empat bukti kegagalan pentabdiran PM, Muhyiddin letak jawatan segera - Hassan Karim



Pentadbiran Perdana Menteri (PM) Tan Sri MuhyiddinYassin dilihat tidak lagi berupaya mengawal negara yang kian kucar-kacir sejak kebelakangan ini.


Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim, Muhyiddin telah menghadapi empat kegagalan fatal yang tidak lagi melayakkan beliau kekal bergayut pada jawatan PM.


"Kegagalan pertama PM Muhyiddin terkait mengekang jangkitan wabak Covid 19 yang pada Jumaat, 29 Januari lalu mencecah sebanyak 5,725 kes baru, menjadikan kes terkumpul sekitar 200,000. Jumlah kumulatif kematian pula seramai 733.


"Sehingga hari ini, vaksin untuk Covid-19 masih belum sampai ke Malaysia. PM Muhyiddin dan Kabinet pimpinannya telah gagal menangani Wabak Covid-19.


"Bukti kedua, dalam masa 11 bulan PM Muhyiddin mentadbir Malaysia, kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) bagi tahun 2020 semakin teruk jatuh ke kedudukan 57 berbanding tangga ke-51 pada tahun 2019.


"Kedudukan ini antaranya disumbangkan oleh pelepasan kes-kes mahkamah yang meragukan dalam beberapa kes berprofil tinggi seperti kes Riza Aziz, Tan Sri Musa Aman dan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Hassan lagi, ekonomi yang dalam perjalanan untuk pulih pada era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan telah merudum dengan teruknya akibat imej buruk pentadbiran Muhyiddin.


Tidak cukup dengan itu, katanya penarafan antarabangsa juga jatuh dan pelabur asing menjauhkan diri dari Malaysia.


"PM Muhyiddin bersama seluruh Kabinetnya gagal menguruskan ekonomi dengan baik. Rating penarafan kewangan Malaysia jatuh. Pertumbuhan ekonomi menguncup teruk. Berjuta rakyat telah hilang pekerjaan. Hutang negara bertambah.


"Kadar hutang negara berbanding KDNK semakin meningkat. Kerajaan Muhyiddin gagal menghasilkan peluang pekerjaan baru kepada berjuta rakyat yang menganggur.


"Fakta yang dibentangkan oleh Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) berhubung pengaliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia menunjukkan ia jatuh 68% kepada AS$2.5 bilion pada tahun 2020," katanya.


Bukti kegagalan keempat, menurut Hassan, PM Muhyiddin memimpin sebuah kerajaan minoriti, bukannya kerajaan majoriti. Muhyiddin telah gagal mendapatkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat di Parlimen.


"PM kerajaan minoriti menggunakan Proklamasi Darurat dan seterusnya menggantung Parlimen Malaysia semata-mata untuk terus berkuasa.


"Perisytiharan Darurat dijadikan alasan untuk kekal memerintah. Ini bercanggah dengan amalan demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia sejak negara kita merdeka pada tahun 1957. Kerajaan minoriti Muhyiddin tidak stabil, tidak mendapat mandat rakyat dan tidak demokratik," katanya.


Sehubungan itu, untuk mengelakkan Malaysia tenggelam lebih teruk dalam selut ekonomi, pendemik Covid dan ketidakstabilan sosial, Hassan menyeru agar PM bersikap rasional dengan melepaskan jawatannya dan mengembalikan kerajaan kepada Yang di-Pertuan Agong.


"Dengan berlandaskan seekurang-kurangnya empat sebab kegagalan yang dinyatakan maka dengan sesungguhnya demi rakyat dan negara Malaysia yang tercinta ini, saya Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang mendesak Tan Sri Muhyiddin dan seluruh anggota Kabinetnya meletakkan jawatan dengan segera," katanya lagi.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio