top of page

Empat agensi bantu laksana penerbangan perubatan ihsan ke pedalaman - Dzulkefly

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read
DR DZULKEFLY AHMAD mengimamkan solat jenazah Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin di Masjid Al-Karomah, Kampung Baung, Pengkalan Chepa, Kelantan, 13 September 2026. Foto Ihsan Bernama melalui Facebook.
DR DZULKEFLY AHMAD mengimamkan solat jenazah Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin di Masjid Al-Karomah, Kampung Baung, Pengkalan Chepa, Kelantan, 13 September 2026. Foto Ihsan Bernama melalui Facebook.

Perkhidmatan kesihatan melalui udara kepada penduduk yang kawasan pedalaman terus dilaksanakan menggunakan penerbangan ihsan dengan bantuan kerjasama empat agensi kerajaan yang mempunyai aset terbabit.


Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata agensi itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Maritim Malaysia (APMM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), lapor Bernama.


Beliau berkata khidmat itu akan digunakan sementara waktu sehingga selesai siasatan insiden membabitkan helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas dan terbakar di Miri, Sarawak pada Selasa lepas.


“Alternatif yang digerakkan antaranya mendapatkan bantuan JBPM menerusi perkhidmatan pemindahan perubatan kecemasan melalui udara (EMARS),” katanya kepada pemberita selepas mengiringi jenazah Dr Ainul Baraah Kamarudin yang terkorban dalam insiden itu di Masjid Al Karomah Mukim Baung Besar, Pengkalan Chepa hari ini.


Dzulkefly berkata langah alternatif itu diambil kerana kementerian tidak boleh membiarkan perkhidmatan itu terhenti terlalu lama dengan langkah memperkukuh aspek berkaitan keselamatan juga bakal dilaksanakan.


“KKM sedang menanti hasil siasatan pihak berkuasa sebelum menentukan langkah seterusnya bagi memperkukuh aspek keselamatan dan membolehkan perkhidmatan FDS disambung semula.


“Tujuh pasukan FDS KKM memberi perkhidmatan kepada kira-kira 14,000 hingga 15,000 penduduk di kawasan pedalaman yang sukar dicapai dengan menggunakan laluan biasa,” katanya.


Pada Selasa lepas, lima termasuk empat petugas FDS yang menaiki helikopter BO-105 maut selepas helikopter itu terhempas dan terbakar berhampiran hujung landasan STOLport Long Lellang kira-kira 3.40 petang.


Selain Dr Ainul Baraah, 33, turut terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, iaitu Jessie Paya Jok, 44, dan Debra Moset, 40.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page