Elaun pasca bersalin elak pembaziran tenaga kerja wanita
- Suara Keadilan

- 6 days ago
- 1 min read

Cadangan Kerajaan MADANI untuk memperkenal Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) dilihat sebagai langkah strategik dalam mengelakkan pembaziran tenaga kerja wanita berkemahiran tinggi.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr. Mohd Iqbal Mohd Noor (gambar) melahirkan rasa optimis pelaksanaannya bakal mampu mempertingkatkan produktiviti modal insan wanita.
Langkah tersebut juga jelasnya membantu majikan mengurangkan kos operasi dengan memastikan kesinambungan tenaga kerja berpengalaman dalam organisasi.
"Jika lebih ramai wanita tidak meninggalkan pekerjaan selepas bersalin, pembaziran modal insan dapat dielakkan, sekali gus meningkatkan produktiviti.
"Selain itu, ia turut membantu menambah pendapatan isi rumah serta menyokong perbelanjaan domestik.
"Dari sudut majikan, inisiatif ini mampu mengurangkan kos latihan semula dan meminimumkan gangguan operasi yang berlaku apabila pekerja wanita berpengalaman berhenti kerja selepas bersalin," katanya dipetik RTM.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena sambutan Hari Pekerja mengumumkan Kerajaan secara prinsip bersetuju memperkenalkan Elaun Pasca Cuti Bersalin pada kadar 80 peratus daripada gaji anggapan bulanan Orang Berinsurans Wanita yang akan dibayar secara sekali bayar (one-off).
Pelaksanaan EPCB susulan hasil kajian Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) yang menunjukkan kemerosotan pengunduran kerjaya golongan wanita, iaitu daripada tahap optimum 78.9 peratus bagi kategori berusia 25 hingga 29 tahun kepada 68.6 peratus bagi usia 35 hingga 39 tahun.




Comments