
Isu pemotongan peruntukan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) masih belum selesai dan kerajaan BN belum menjawab secara tuntas mengapakah peruntukan latihan kepada atlet terlalu banyak dipotong.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Selangor, Chua Wei Kiat, pemotongan peruntukan itu menyebabkan elaun latihan kepada atlet mengalami pengurangan dalam jumlah yang besar.
Kata beliau, bukan sahaja 144 atlet telah diberhentikan dari Program Latihan MSN malah yang masih dikekalkan berlatih elaun mereka dipotong separuh.
"Kita dikejutkan dengan pendedahan atlet 110 meter lari berpagar, Rayzam Shah Wan Sofian yang memberitahu elaun beliau telah dikurangkan dari RM2,000 sebelum ini kepada hanya RM800.
"Beliau merupakan pemenang pingat emas acara 110m lari berpagar sukan SEA sebanyak 2 kali dan pingat perak sekali. Kata Rayzam dia terkilan dengan pemotongan tersebut dan dengan kadar sebegitu sudah pasti atlet sepertinya akan berdepan cabaran memenuhi keperluan hidup seharian.
"Mungkin di mata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mereka ini hanya ahli sukan namun di mata rakyat mereka adalah wira yang mengharumkan nama negara bukan sahaja di Asia malah di peringkat dunia," katanya.
Tambah Ahli Dewan Negeri Rawang itu, kerajaan seolah olah tidak mengenang budi kerana atlet hanya diraikan ketika mereka mendapat pingat namun selepas itu kehidupan mereka dibiarkan sensara.
"Kita faham prestasi sukan negara merundum kerana berdepan dengan pandemik. Namun jangan jadikan ini alasan untuk menghukum mereka. Tindakan ini tidak akan memperbaiki mutu sukan tetapi hanya mengeruhkan lagi keadaan.
"Menjadikan contoh isu gaji pemain bola sepak yang menjadi punca prestasi merundum, ini bukanlah langkah terbaik dari KBS mahupun MSN. Ini hanya menyukarkan MSN mencari pelapis atlet negara untuk masa depan.
"Saya menggesa kerajaan mengambil serius perkara ini serta mempertimbangkan semula untuk membatalkan pemotongan elaun kepada atlet," katanya lagi.
Sehubungan itu, Chua mengingatkan Kerajaan BN agar memotong terlebih dahulu perbelanjaan membazir sebelum bertindak memotong peruntukan latihan atlet sukan negara.
Comments