Elaun khas RM500 kepada barisan hadapan akan terus diperjuangkan, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.
Beliau yang pernah membawa isu berkenaan sewaktu perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2021 telah meminta jumlah RM500 diberi bukan sahaja kepada petugas barisan hadapan (frontliners) Kementerian Kesihatan Malaysia sahaja tetapi juga frontliners lain seperti PDRM, ATM, malah juga petugas kebersihan di hospital.
Dalam kunjungan NGO Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), khusus berkait isu petugas kebersihan di hospital kerajaan baru-baru ini Fahmi berjanji akan terus memperjuangkan isu elaun khas tersebut sehingga menjadi kenyataan.
"Menteri Kewangan setuju untuk tambah jumlah penerima namun elaun hanya RM300. Saya tidak setuju dan terus perjuangkan RM500, dan pohon dimasukkan cleaners ini sebagai salah satu kumpulan frontliners.
"Hari ini saya difahamkan, berdasarkan kajian JPKK, terdapat lebih kurang 50,000 petugas pembersihan yang bertugas di lebih 140 hospital kerajaan seluruh negara. Namun terdapat beberapa isu berkait gaji dan kebajikan, yang mana saya akan teliti.
"Pihak JPKK telah menyerahkan laporan kajian mereka dan saya akan berusaha untuk hubungi beberapa pihak nanti untuk perluaskan perbincangan berkenaan isu ini," katanya dalam kenyataan.
Dalam kunjungan JPKK ke Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, Fahmi menyumbang pelitup muka dan hand sanitizer untuk para petugas pembersihan di beberapa hospital.
"InshaAllah saya dan rakan-rakan Ahli Parlimen yang lain akan terus meneliti dan memperjuangkan nasib pekerja, di dalam dan di luar Parlimen," katanya lagi.
Comments