Saranan agar kerajaan membayar elaun kepada anggota kabinet bayangan Perikatan Nasional (PN) agar mereka boleh berfungsi lebih baik dalam melakukan semak imbang ditentang oleh KEADILAN Sarawak.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Roland Engan, elaun kepada anggota kabinet bayangan pembangkang tidak pernah menjadi amalan dalam pentadbiran Malaysia dan tidak wajar dicadangkan pada waktu kerajaan menghadapi masalah hutang negara yang menggunung tinggi.
"KEADILAN Sarawak (dengan ini) menyanggah sekeras-kerasnya desakan sesetengah pihak untuk Perdana Menteri meluluskan elaun RM5,000 kepada setiap ahli kabinet bayangan Perikatan Nasional.
"Pertama, portfolio yang diwujudkan Perikatan Nasional tersebut adalah inisiatif parti politik yang berkepentingan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
"Kedua, portfolio sedemikian tiada dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Jawatan Ketua Pembangkang untuk Perikatan Nasional di Parlimen sudah cukup memadai untuk pembangkang memainkan peranan "check and balance" dalam Kerajaan. Ahli Kabinet Bayangan juga sudah ada gaji atau elaun sebagai Ahli Parlimen," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi Roland Engan, daripada kerajaan membayar elaun kepada anggota kabinet bayangan lebih baik mereka menyediakan peruntukan menaikkan elaun ketua masyarakat, ketua kaum, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau pun Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK).
Hal itu, kata Roland jauh lebih bererti kepada rakyat yang mendapat perkhidmatan daripada struktur kuasa Kerajaan Negeri atau pusat berbanding khidmat anggota kabinet bayangan pembangkang.
"Kerajaan patut mempertimbangkan menambah elaun kepada semua ketua masyarakat, ketua kaum dan JKKK di seluruh Sarawak atau MPKK seluruh Semenanjung Malaysia untuk membolehkan mereka lebih fokus pada tugas dan tanggungjawab mereka mendapat maklum balas daripada rakyat akar umbi untuk diutarakan kepada Kerajaan demi penambahbaikan sistem perlaksanaan pembangunan yang menyeluruh.
"Gaji RM900 untuk ketua kaum wajar ditambah ke jumlah minimum RM1,500," katanya lagi.
Kelmarin gerakan Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) menyarankan kerajaan mengikut langkah yang dilaksana di United Kingdom, Australia, Kanada atau New Zealand dalam memberi elaun khas kepada anggota kabinet bayangan pembangkang.
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu menjelaskan, menteri dalam kabinet bayangan itu perlu mengangkat sumpah sebagai pembangkang setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong.
Kumpulan itu turut mencadangkan anggota kabinet bayangan diberi seorang penyelidik yang berkelulusan sesuai serta akses kepada maklumat kerajaan.
Σχόλια