top of page

Elak politik taksub: Rakyat perlu menilai fakta, bukan pengikut semberono

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 46 minutes ago
  • 2 min read

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengingatkan bahawa budaya politik di Malaysia yang semakin dipengaruhi ketaksuban terhadap parti dan pemimpin terutama sewaktu berkempen pilihanraya boleh menjejaskan kematangan demokrasi serta menghalang penyelesaian terhadap pelbagai isu yang dihadapi negara.


Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata landskap politik negara kini dilihat berubah daripada persaingan menawarkan dasar dan penyelesaian kepada masalah rakyat kepada usaha membina kesetiaan mutlak terhadap parti dan pemimpin.


"Dahulu pilihanraya merupakan medan parti politik berlumba menawarkan manifesto, dasar dan penyelesaian kepada masalah rakyat. Persaingan tertumpu kepada siapa yang mempunyai gagasan terbaik untuk membangunkan negara. Hari ini, suasananya semakin berbeza.


"Ruang awam dipenuhi kempen yang membina kesetiaan mutlak kepada parti dan pemimpin. Media sosial mempercepat penyebaran naratif yang mengukuhkan kelompok masing-masing sehingga ramai hanya menerima maklumat yang mengesahkan kepercayaan sendiri. Akibatnya, hujah semakin kurang didengar, emosi semakin menguasai," katanya dalam satu kenyataan.


Mohd Azmi berkata, keadaan itu menyebabkan fakta tidak lagi menjadi asas dalam membuat penilaian apabila sesuatu pandangan diterima atau ditolak hanya berdasarkan kecenderungan politik.


"Apabila fanatik mengatasi kebijaksanaan, kebenaran tidak lagi dinilai berdasarkan fakta. Sesuatu dianggap benar kerana datang daripada pihak sendiri, manakala yang datang daripada lawan terus ditolak walaupun mempunyai asas yang kukuh. Inilah bahaya politik yang berasaskan ketaksuban."


Beliau berkata, budaya sedemikian menyebabkan rakyat semakin berpecah, manakala kritikan dianggap sebagai pengkhianatan dan perbezaan pandangan dilihat sebagai permusuhan.


Azmi menegaskan rakyat Malaysia wajar menggalakkan pemikiran kritis, menghormati fakta serta mengangkat integriti sebagai asas kepimpinan.


"Malaysia memerlukan politik yang mendidik rakyat berfikir secara kritis. Kita memerlukan budaya yang menghormati fakta, mengalu-alukan perbezaan pandangan dan mengangkat integriti sebagai ukuran utama kepimpinan," ujarnya,


Beliau turut mengingatkan bahawa prinsip syura dalam Islam menekankan kepentingan perbincangan terbuka, hujah yang jujur dan kesediaan menerima teguran sebagai asas membuat keputusan.


Selain itu, katanya, kematangan demokrasi bukan diukur melalui jumlah parti yang bertanding, sebaliknya bergantung kepada keupayaan rakyat berfikir secara bebas dan objektif dengan mengutamakan kepentingan negara.


"Pilihanraya seharusnya menjadi medan rakyat memilih dasar yang terbaik, bukan pertandingan membina penyokong yang paling fanatik.


"Sudah tiba masanya kita membina politik yang melahirkan warga yang berilmu, berakhlak dan berjiwa besar. Masa depan Malaysia bergantung kepada kematangan rakyatnya, bukan semata-mata kepada kemenangan mana-mana parti," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page