Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat mengabaikan suara-suara sumbang yang mencela niat dan usaha murni kerajaan untuk memajukan negara dengan mengelakkan diri daripada politik kebencian.
Perdana Menteri berkata usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat memerlukan pelaksanaan kebijakan-kebijakan yang adil.
"Abaikan suara-suara sumbang yang mencela niat dan upaya murni ini dan usah terheret dengan budaya politik kebencian di negara ini yang terus menebal.
"Fakta sama sekali tidak dipedulikan. Yang dilontarkan hanyalah kebencian," katanya dalam hantaran di Facebook mengulas ucapannya dalam Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, rasuah yang terus berlanjut akan menghalang sebahagian besar rakyat daripada menerima bantuan dan infrastruktur penting.
"Apakah kita mampu membiarkan sebahagian besar hasil mahsul negara terbazir untuk kegiatan dan budaya rasuah dan subsidi yang tidak tepat sampai kepada kumpulan sasaran.
"Justeru itu jelasnya timbul persoalan apakah dasar-dasar yang lalu atau yang sedia ada memaknai keadilan buat semua insan.
"Kita perlu menyedia dan memberikan ruang kepada semua agar mereka yang terpinggir ini dapat dibela.
"Ini makna mobiliti sosial. Untuk melonjak darjat negara, kita mesti memaknai keadilan dengan dasar-dasar yang adil, progresif dan terangkum demi rakyat terbanyak," kata Anwar.
Terdahulu Perdana Menteri mengingatkan seluruh pasukan penjawat awam untuk bermuhasabah tatkala melaksanakan amanah dan tugas.
"Kita perlu senantiasa mempersoal, selain berfikir, pada nurani apakah upaya yang kita lakukan ini adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat, baik yang kaya mahupun yang miskin dan melarat.
"Saya mempertaruh cita-cita yang tinggi untuk Malaysia. Keyakinan saya sangat besar bahawa martabat dan tahap kekayaan negara dapat ditingkatkan lebih tinggi," katanya.
Comments