top of page

Elak perpecahan, tumpukan Pilihan Raya Negeri Sabah - Dr Sangkar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Mar 26, 2024
  • 1 min read


KEADILAN Sabah yang dilaporkan bermasalah diminta untuk mengelakkan perpecahan dalaman menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 yang boleh diadakan pada bila bila masa.


Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah, Datuk Dr Sangkar Rasam berkata demikian dalam kenyataannya sebaik tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu petang semalam dari Kuala Lumpur.


Menurut beliau, isu Pengerusi MPN tidak perlu dibangkitkan menjelang PRN dan pada waktu parti sedang melakukan persiapan menjelang pilihanraya.

Datuk Dr Sangkar Rasam

"Saya baru sahaja pulang dari Putrajaya menghadiri mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bersama presiden dan pimpinan KEADILAN pusat.


"Saya minta kepada semua ahli KEADILAN Sabah untuk bertenang dan jangan mencipta spekulasi untuk memprovokasi mana-mana pihak.


"Saya masih lagi Pengerusi MPN Sabah yang sah mengikut perlembagaan parti," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Dr Sangkar, dalam waktu beberapa bulan sebelum pilihanraya ini KEADILAN Sabah perlu mempersiapkan jentera parti untuk bertempur menghadapi pembangkang yang bakal memberi saingan sengit di setiap kerusi DUN.


"Saya harap semua pimpinan dan akar umbi memberi fokus memperkuatkan parti dan perhatian sepenuhnya kepada persiapan menyiapkan jentera bagi menghadapi PRN yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja," katanya.


Minggu lalu, KEADILAN Sabah sedikit bergolak apabila 15 Ketua Cabang mahu Dr Sangkar berundur dan digantikan pemimpin lain.


Bagaimanapun, dalam mesyuarat Biro Politik dan MPP pada Ahad lalu Pengerusi MPN Sabah itu dikekalkan untuk menerajui cabaran PRN ke 17 yang berkemungkinan besar diadakan sebelum hujung tahun ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page