Elak musibah: Kerajaan beku kelulusan pembangunan di kawasan takungan banjir
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 2 min read

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan meluluskan sebarang Kebenaran Merancang (KM) bagi pembangunan di atas kawasan kolam takungan banjir di ibu negara yang kini dianggarkan tinggal sekitar 30 peratus daripada saiz asal selepas sebahagian besar kawasan itu diberi hak milik kepada pemaju sejak 2015.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh (gambar) berkata, kerajaan memandang serius keadaan membabitkan 17 lot tanah kolam takungan banjir di Batu dan Jinjang yang telah diserah milik untuk tujuan pembangunan.
"Anggaran sebanyak 70 peratus keluasan tanah dalam kawasan badan air telah diserah hak milik kepada pemaju bagi tujuan pembangunan sehingga menyebabkan berkurangnya kapasiti badan air berbanding keluasan asal 33.5 hektar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hannah menegaskan DBKL tidak akan meluluskan pemberian KM bagi sebarang permohonan pembangunan di atas kawasan kolam takungan banjir sehingga syarat pembangunan yang ditetapkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dipatuhi sepenuhnya.
"DBKL tidak akan meluluskan pemberian Kebenaran Merancang (KM) bagi sebarang permohonan pembangunan di atas kawasan kolam takungan banjir sehingga syarat-syarat pembangunan yang ditetapkan oleh JPS dipatuhi bagi memastikan fungsi asal kolam dan akses penyelenggaraan dapat dikekalkan," katanya.
Menurut Hannah, penilaian teknikal oleh JPS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendapati keadaan itu telah menjejaskan fungsi asal kolam takungan banjir selain menyukarkan kerja penyelenggaraan.
"Berdasarkan penilaian teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, keadaan ini menjejaskan fungsi asal kolam takungan banjir serta menyukarkan kerja-kerja penyelenggaraan dan akses jentera," katanya.
Beliau menegaskan kerajaan tidak boleh terus membenarkan pembangunan yang menjejaskan fungsi sistem mitigasi banjir di ibu negara.
"Kerajaan MADANI tidak boleh terus membenarkan pembangunan yang menjejaskan fungsi kolam takungan banjir.
"Kepentingan rakyat dan keselamatan warga kota mesti diutamakan walaupun tindakan yang diambil memerlukan keputusan yang tegas untuk memperbaiki masalah yang telah lama diwarisi," katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Wilayah Persekutuan turut menubuhkan satu pasukan bertugas khas bagi memperkukuhkan penyelarasan dan tindakan mitigasi banjir di Kuala Lumpur.
Hannah berkata, pasukan bertugas itu dipengerusikan Ketua Pengarah JWP, Muhammad Azmi Mohd Zain dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.
"JWP telah mewujudkan satu pasukan bertugas (taskforce)...melibatkan kerjasama pelbagai agensi bagi memperkukuhkan penyelarasan dan tindakan mitigasi banjir di Kuala Lumpur," katanya.




Comments