Elak ketirisan: GLC, yayasan terima dana awam dipantau Jabatan Audit Negara
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 2 min read

Syarikat berkaitan kerajaan, yayasan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menerima dana awam kini tertakluk kepada pemantauan Jabatan Audit Negara (JAN), demikian kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata langkah tersebut merupakan sebahagian daripada reformasi kerajaan meluaskan skop pengauditan bagi memastikan individu terbabit salah laku dibawa ke muka pengadilan dan dana awam dilindungi.
"Sama ada syarikat berkaitan kerajaan, yayasan... jika menerima dana awam, maka tertakluk kepada pendekatan ‘memantau aliran wang awam’.
"Pendekatan ini akan membantu mengurangkan ketirisan dan rasuah yang pernah kita saksikan sebelum ini.
"Yayasan, pertubuhan masyarakat sivil dan organisasi kebajikan yang mendapat sokongan penuh kerajaan, tetapi dalam prosesnya menyalahgunakan kedudukan untuk memperkayakan ahli lembaga dan mungkin hanya 10% atau 20% sahaja yang benar-benar digunakan untuk kerja kebajikan," katanya dipetik ketika berucap merasmikan Persidangan Konfederasi Institut Juruaudit Dalaman Asia (ACIIA) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata langkah tegas yang diambil kerajaan dalam usaha memperkukuh sistem integriti dan akauntabiliti negara termasuk memperkasa mandat Jabatan Audit Negara terbukti dapat memulihkan keyakinan terhadap institusi penting di negara ini.
Beliau berkata skop pengauditan turut diperluaskan ke atas semua entiti yang menerima dana awam dengan sejumlah RM159 juta berjaya dipulihkan melalui audit susulan sejak 2024.
Reformasi turut melibatkan pindaan pertama Akta Audit dalam tempoh 33 tahun, penubuhan Jawatankuasa Ketidakteraturan Serius serta pelancaran empat garis panduan audit baharu bagi meningkatkan keberkesanan pengawasan terhadap penyalahgunaan dana awam, kata beliau.
"Inilah sebab sebenar mengapa kita perlu memperkasakan mandat Jabatan Audit Negara, yang sudah tentu diketuai oleh Ketua Audit Negara, seorang wanita yang tegas, ibarat besi.
"Melalui pindaan pertama Akta Audit dalam tempoh 33 tahun, ia mungkin bukan satu reformasi yang glamor, tetapi ia adalah satu reformasi yang penting.
"... ia adalah langkah penting untuk memastikan pelaku salah laku dapat dibawa ke muka pengadilan dan dana awam dilindungi," katanya.
Perdana Menteri menekankan bahawa isu tadbir urus yang baik kekal sebagai tiang utama ketika mana kerajaan mengumumkan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 iaitu strategi ekonomi lima tahun terkini negara menjelang 2030.
"Kita sering terobsesi dengan pertumbuhan, pelaburan dan kejayaan ekonomi, tetapi semua itu tidak akan berlaku dan tidak akan berpanjangan jika kita tidak mengambil kira isu akauntabiliti dan ketelusan. Di sinilah sekali lagi datangnya peranan juruaudit dalaman.
"Saya sentiasa menekankan keperluan integriti kerana dengan segala hormat kepada anda semua, kita telah melihat pelbagai penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin politik, penjawat awam, malah juruaudit sendiri.
"Jadi, isu integriti dan akauntabiliti mesti kembali menjadi teras utama dalam kerja kita," tegas beliau.
Dalam pada itu, Anwar berkata pihaknya menghargai usaha Institut Juruaudit Dalaman yang membangunkan Pernyataan Panduan Pengurusan Risiko dan Kawalan Dalaman (SOMIC) 2025 bersama Bursa Malaysia.
"Ini sudah tentu merupakan langkah awal yang sangat penting kerana ia turut menyediakan syarikat dengan pelan tindakan (blueprint) untuk menerapkan kesedaran risiko, mengukuhkan keyakinan pelabur serta membuat persediaan menghadapi ESG (Environmental Social and Governance) dan risiko-risiko baharu yang sedang muncul
“Kita mesti melihat tadbir urus bukan sebagai beban, tetapi sebagai aset strategik—sauh kredibiliti pasaran, pemangkin pelaburan dan jaminan kemajuan yang adil," ujarnya.
Persidangan ACIIA 2025 menghimpunkan lebih 1,500 juruaudit dalaman dan pakar tadbir urus dari 26 negara Asia menjadikannya yang terbesar seumpamanya di rantau ini.
Comments