Elak ketidakhadiran penerima vaksin Covid: Wujudkan talian khas hotline - Wanita KEADILAN
- Redzuan Shamsudin
- May 28, 2021
- 1 min read

Ketidakhadiran hampir 10,000 penerima vaksin di Kelantan dan terbaharu 6,000 penerima vaksin di Negeri Sembilan tidak hadir menunjukkan kelemahan ketara Program Imuniti Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean berkata, bagi mengatasi masalah itu kerajaan Perikatan Nasional (PN) wajar mengambil pendekatan baharu dalam pelaksanaan pengurusan janji temu pemvaksinan agar tidak berulang insiden ketidakhadiran penerima dalam jumlah yang besar.
"Saya mencadangkan tiga pendekatan baharu yang boleh dipertimbangkan kerajaan
"Pertama, meningkatkan keberkesanan kerjasama antara kerajaan dengan pemimpin komuniti, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Majlis Tempatan dan Ketua Kampung dengan mengadakan Taklimat PICK mingguan serta mesyuarat penyelarasan di lokaliti masing-masing sehingga negara ini mencapai matlamat imuniti kelompok.
"Maklumat perkembangan pendaftaran dan pemvaksinan terkini boleh dikongsikan dalam taklimat PICK di peringkat negeri dan kawasan supaya wakil-wakil komuniti dan pemimpin tempatan menyelaraskan bantuan setempat
"Kedua, mewujudkan panggilan talian khas hotline komunikasi dua hala yang mempunyai pilihan bahasa perantaraan bagi pengurusan janji temu, susunan pemvaksinan di rumah dan urusan bantuan menghadiri PPV di peringkat negeri dan tempatan.
"Ketiga, meningkatkan kekerapan siaran maklumat dalam pelbagai bahasa mengenai kempen kesedaran pemvaksinan, demonstrasi cara mendaftar, menyemak dan mengubah janji temu, melalui semua platform media termasuk televisyen, media atas talian, radio dan sebagainya pada setiap hari," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ker Chean lagi, dalam waktu yang genting dan kes jangkitan baharu melambung tinggi, kerajaan PN seharunya mengetepikan perbezaan pendirian politik masing-masing, juga mengambil cadangan bernas pembangkang bagi mengutamakan usaha memerangi penularan wabak Covid -19.
Comments