Elak kanak kanak jatuh: Selangor arah PBT semak semula keselamatan longkang
- Suara Keadilan

- 9 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor memandang serius insiden tragis kanak-kanak terjatuh ke dalam saluran longkang sebelum ditemukan lemas.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu akan digerakkan untuk menyemak tahap keselamatan fizikal di semua longkang berisiko bagi meneliti langkah penambahbaikan yang perlu diambil.
"Kita akan menyiasat semula isu longkang tersebut serta keadaannya. PBT akan ambil tindakan sebab sebahagiannya memang di bawah kuasa PBT.
"Tapi kalau sungai dan sebagainya itu memang terlalu panjang kalau kita ingin uruskan. Jadi kita kena ada 'buffer' (penampan) dan ada kawasan-kawasan tertentu untuk elakkan daripada isu ini berlaku," katanya dipetik.
Amirudin ditemui pemberita pada Sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Selangor 2026 di Shah Alam semalam.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam longkang ketika hujan lebat di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor pada minggu lalu.
Manakala seorang kanak-kanak perempuan, Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum, 9, dilaporkan hilang hilang dibawa arus selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Bandar Mahkota Cheras pada Jumaat, sebelum jasadnya ditemui di Sungai Langat pada Ahad.
Sementara itu, Amirudin menegaskan bahawa aspek keselamatan tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak.
Justeru beliau menasihatkan semua pihak mengambil tanggungjawab bersama bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terus terjamin, khususnya ketika beriadah.




Comments