Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa orang ramai tidak menjadikan Ramadan sebagai bulan berpesta makanan hingga akhirnya banyak juadah berbuka puasa berakhir ke tapak pelupusan sampah.
Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pada tahun lalu laporan menyebut sebanyak 90,000 tan makanan dibuang ke dalam tong sampah di seluruh negara sepanjang Ramadan.
Beliau menyatakan kajian menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan berbanding purata di bulan lain.
"Berbuka puasa yang secara tradisinya dilakukan di rumah bersama ahli keluarga atau di masjid dalam suasana kerohanian telah bertukar kepada “pesta makan dengan 100 jenis hidangan” di hotel dan restoran. Ia telah bertukar menjadi sumber keuntungan bagi perniagaan.
"Membuang makanan merupakan satu dosa memandangkan ia menafikan makanan untuk mereka yang memerlukan dan generasi masa depan.
"Ia juga melenyapkan sumber dan menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar melalui pencemaran laut dan sungai dan melepaskan karbon dioksida yang bertanggungjawab terhadap pemanasan global," katanya dalam surat pengarang disiar di laman web persatuan itu.
Mohideen berkata, salah satu tujuan berpuasa ialah untuk merasakan kelaparan yang dialami oleh golongan miskin dan terpinggir agar orang ramai mempunyai sikap empati kepada mereka.
"Kini lebih dua juta rakayat Palestin menghadapi kebuluran jadi kita tidak sepatutnya membuang begitu banyak makanan pada bulan yang suci ini," ujarnya.
Beliau berkata Ramadan sepatutnya menjadi bulan beribadat tetapi bagi sesetengah orang ia menjadi bulan untuk menjamu selera dan membazir dalam perbelanjaan sedangkan Islam menyuruh umatnya mengelakkan bersikap rakus, membazir dan boros.
"Berlawanan dengan ajaran ini, sesetengah orang makan dan minum begitu banyak sehingga menjadi malas dan mengabaikan untuk melakukan kewajipan solat mereka.
"Kerakusan atau bersikap kelahapan juga boleh memberikan kesan sampingan kesihatan yang serius seperti diabetes, penyakit koronari, dan tekanan darah tinggi bagi mereka yang memuaskan hati dengan menurut hawa nafsu," katanya.
Jelas beliau, golongan kaya seharusnya berkongsi kekayaan mereka dengan mereka yang miskin dan memerlukan bukannya bersikap rakus dan bermegah-megah dalam cara hidup.
"Gunakan kekayaan anda untuk membantu golongan miskin dan terpinggir keluar daripada kemiskinan dan penindasan dan menyokong program-program amal jariah," katanya.
コメント