Elak beratur, beli petrol BUDI95 melalui aplikasi
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Menjelang 30 September apabila seluruh rakyat Malaysia yang layak mendapat petrol bersubsidi di bawah skim BUDI95 perlu menggunakan kad pengenalan untuk membeli minyak, ada baiknya mereka menyemak beberapa aplikasi yang membenarkan urusniaga dijalankan secara dalam talian bagi mengelak beratur di kaunter.
Selain pembelian dengan pengesahan kad pengenalan secara manual terdapat dua aplikasi, iaitu Touch ‘n Go (TNG) eWallet dan Setel (Petronas) yang membenarkan pengguna mengisi minyak dengan mudah.
Menerusi TNG eWallet, pengguna boleh mengakses ikon BUDI95, memilih jumlah petrol, membuat bayaran secara terus, sebelum mengimbas kod QR di kaunter untuk mengaktifkan pam minyak.
Bagi pengguna stesen Petronas pula, pembelian turut boleh dilakukan melalui aplikasi Setel yang diakses dalam TNG eWallet.
Aplikasi itu secara automatik mengesan lokasi stesen, membolehkan pelanggan memilih jumlah isian, membuat bayaran dan terus mengaktifkan pam tanpa perlu ke kaunter.
Antara syarat utama yang perlu dipatuhi termasuklah pengesahan akaun lebih awal melalui eKYC, mengaktifkan tetapan lokasi dalam aplikasi dan menyemak baki akaun sebelum mengisi minyak.
Untuk rekod, pelaksanaan petrol subsidi RON95 akan bermula pada 30 September ini dengan harga ditetapkan pada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter pada kadar semasa.
Inisiatif yang dibuat di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) itu disasarkan kepada rakyat tempatan memiliki lesen memandu aktif dan mereka diberi kuota 300 liter petrol sebulan.
Pengguna kenderaan juga boleh menyemak kelayakan mendapatkan petrol bersubsidi di bawah BUDI95 dengan melayari laman web www.budi95.gov.my