top of page

eKYC: MCMC akan ke Singapura runding wakil Meta, Google, X, TikTok - Fahmi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama beberapa jabatan dan agensi kerajaan dijadual berkunjung ke Singapura minggu hadapan bagi mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat teknologi utama termasuk Meta, Google, X (dahulunya Twitter) dan TikTok.


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata pertemuan itu bertujuan membincangkan mekanisme terbaik bagi memastikan proses Electronic Know Your Customer (e-KYC) yang menggunakan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID dapat dimanfaatkan dengan selamat.


Beliau menjelaskan, langkah itu selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi bagi memastikan tiada sebarang ketirisan maklumat dan sebagainya.


''Tetapi perkara yang paling penting ialah keselamatan secara dalam talian terutamanya untuk kanak-kanak dan keluarga.


''Selaras dengan itu, rejim perlesenan yang telah diperkenalkan pada 1 Januari 2024 adalah terpakai terutama untuk pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam talian yang menetapkan keperluan untuk platform-platform digital dilesenkan,'' katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai mekanisme yang akan digunakan sekiranya kerajaan mahu melarang akses media sosial kepada mereka yang berumur 16 tahun ke bawah.


Syahredzan turut bertanya sama ada pelaksanaan rejim perlesenan platform digital yang diperkenalkan tahun lalu dapat membantu kerajaan melaksanakan dasar tersebut, memandangkan ia melibatkan tanggungjawab serta obligasi pemilik platform media sosial.


Mengulas lanjut, Fahmi berkata kerajaan akan terus melaksanakan usaha untuk melesenkan platform-platform media sosial bagi memastikan keselamatan dalam talian, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page