top of page

eKYC kepada kanak kanak bawah 13 tahun sekat unsur negatif

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 17
  • 2 min read

Updated: Oct 20

ree

Oleh: Akmal Manaf


Keputusan kerajaan mahu mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan proses pengesahan identiti pengguna atau electronic Know Your Customer (eKYC) bagi memastikan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun, merupakan usaha tepat dalam memastikan keselamatan dan kawalan yang lebih efektif ke atas golongan berkenaan.


Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Kepong, Jeremy Ang (gambar) berkata, langkah yang akan dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu juga secara tidak langsung dapat membantu mengawal pendedahan kandungan yang tidak sesuai untuk dilihat oleh mereka.


Beliau berkata, pelajar dan golongan muda kini terdedah kepada pelbagai maklumat tidak sesuai dan kandungan negatif di internet yang boleh mempengaruhi perkembangan nilai dan sikap mereka.


"Walaubagaimanapun, pendidikan seksual yang komprehensif, berasaskan peringkat umur dan berterusan adalah sangat penting dalam membentuk generasi muda yang matang, memahami pentingnya menghormati pelbagai identiti jantina dan berdaya saing secara digital dalam menghadapi cabaran global.


"Kes pembunuhan pelajar perempuan serta peningkatan kes rogol di sekolah-sekolah di seluruh negara merupakan petanda serius terhadap cabaran yang sedang dihadapi oleh sistem pendidikan dan masyarakat kita.


"Insiden-insiden itu dipercayai dipengaruhi oleh pendedahan pelajar kepada kandungan negatif dalam media sosial serta emosi yang tidak terkawal, sekali gus menjadikan masalah ini lebih rumit dan membimbangkan," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Jeremy lagi, sistem pendidikan negara kini menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam dunia digital yang membentuk cara pelajar berinteraksi serta memperoleh maklumat.


Katanya, budaya yang mempromosikan maskulinisasi toksik seperti yang diperjuangkan dalam talian oleh 'Andrew Tate' tidak mengajar nilai kesaksamaan jantina yang sepatutnya ditegakkan.


"Justeru, adalah amat penting untuk mendidik pelajar bahawa dominasi bukanlah kekuatan sebenar, sebaliknya kekuatan muncul daripada sikap menghormati, bersimpati dan memahami antara satu sama lain.


"Seiring dengan usaha memupuk pendidikan seksual yang komprehensif dan selaras dengan perkembangan semasa, kita juga tidak boleh mengabaikan cabaran besar yang dibawa oleh dunia digital," ujarnya sambil menzahirkan sokongan penuh terhadap dasar eKYC yang telah diperkenalkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.


Pada 15 Oktober lalu, Fahmi berkata, langkah yang terkandung dalam dasar eKYC itu bertujuan melindungi keselamatan kanak-kanak di alam maya serta memastikan garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh platform berkenaan benar-benar dikuat kuasa.


Bagaimanapun, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, garis masa sebenar akan dilaporkan kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum diumumkan kepada orang ramai.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page