top of page

eKYC, had umur 16 tahun langkah bijak lindungi remaja di media sosial

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • a few seconds ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Cadangan kerajaan menaikkan had umur penggunaan media sosial daripada 13 kepada 16 tahun serta pelaksanaan sistem electronic Know Your Customer (eKYC) bagi pendaftaran remaja disifatkan sebagai tindakan berpandangan jauh dalam melindungi kesejahteraan emosi dan keselamatan pengguna muda di dunia digital.


Pakar Psikologi Kaunseling dari Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr Fauziah Mohd Saad, berkata kedua-dua inisiatif itu saling melengkapi dan menjadi asas penting kepada pembentukan budaya digital yang lebih sihat serta bertanggungjawab dalam kalangan remaja.


"Langkah menaikkan had umur penggunaan media sosial daripada 13 kepada 16 tahun adalah sangat wajar dan berpandangan jauh.


"Pada usia remaja awal, kematangan emosi, kognitif dan kemahiran kawalan diri masih belum terbentuk sepenuhnya. Media sosial boleh memberi kesan besar terhadap cara remaja melihat dunia, membina identiti, dan mengurus emosi," katanya kepada Suara Keadilan.


Beliau menambah, ramai remaja mudah terpengaruh dengan kandungan negatif seperti keganasan, buli siber, serta budaya toksik yang boleh mencetuskan tingkah laku berisiko.

Prof. Madya Dr Fauziah Mohd Saad
Prof. Madya Dr Fauziah Mohd Saad

"Dalam banyak kes, konflik yang bermula di platform digital boleh terbawa ke dunia sebenar dan menjadi punca pergaduhan serta keganasan di sekolah.


"Dengan had umur yang lebih tinggi, pendedahan awal kepada kandungan berbahaya dapat dikurangkan, sambil memberi masa kepada remaja membina daya tahan emosi dan pemikiran kritikal terlebih dahulu," jelasnya.


Mengulas mengenai pelaksanaan eKYC, Dr Fauziah berkata ia adalah langkah proaktif yang mampu memperkukuh kawalan terhadap identiti pengguna dan memudahkan intervensi awal jika berlaku tingkah laku berisiko.


"Pelaksanaan proses electronic Know Your Customer (eKYC) bagi pendaftaran remaja adalah satu langkah yang baik dan proaktif. Ia membolehkan kerajaan dan penyedia platform mengenal pasti pengguna sebenar, seterusnya memudahkan pemantauan serta perlindungan terhadap penyalahgunaan akaun.


"Ini penting kerana ramai remaja hari ini menggunakan akaun palsu atau identiti tidak sah, menyebabkan sukar untuk dikesan jika berlaku buli, penyebaran maklumat palsu atau aktiviti berbahaya.


"Dengan eKYC, sekurang-kurangnya ada tanggungjawab digital dan akauntabiliti yang lebih tinggi, serta membolehkan intervensi awal jika berlaku tingkah laku berisiko," ujarnya.


Menurutnya, pendekatan itu penting kerana ada remaja menggunakan akaun palsu atau identiti tidak sah, menyukarkan pengesanan jika berlaku buli, penyebaran maklumat palsu atau aktiviti berbahaya dalam talian.


Katanya, pemantauan perlu disertai dengan pendidikan emosi, kemahiran daya tahan dan kesedaran tentang tanggungjawab digital agar wujud budaya penggunaan media sosial yang selamat dan sihat.


"Langkah ini juga perlu disokong dengan pendidikan literasi digital kepada ibu bapa, guru dan remaja sendiri supaya pemantauan bukan sekadar teknikal, tetapi membina budaya penggunaan media sosial yang selamat dan sihat," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page