top of page

'Ekstremisme punca keruntuhan tamadun' - Dr Mujahid

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

DS Dr Mujahid mengingatkan bahaya takfiri di forum kesederhanaan Islam. Kredit foto: Selangor Today
DS Dr Mujahid mengingatkan bahaya takfiri di forum kesederhanaan Islam. Kredit foto: Selangor Today

Sikap melampau dalam urusan agama merupakan punca utama keruntuhan tamadun, tegas Pengerusi Akademi Nadwah Ulamak Nadhan Jadidan (NUNJI), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.


Beliau berkata, amaran Rasulullah SAW sejak awal lagi jelas menunjukkan bahawa sikap melampau tidak hanya merosakkan individu, tetapi turut mengancam asas keseluruhan tamadun umat.


Dalam ucaptama Forum “Islam dan Kesederhanaan dalam Menangani Ekstremisme” yang berlangsung di Batu Muda, Kuala Lumpur, Dr Mujahid menjelaskan bahawa sejarah keruntuhan umat terdahulu berpunca daripada tindakan melampaui batas dalam beragama.


"Keruntuhan umat berlaku kerana mereka melampaui batas. Jika amalan melampau dibiarkan, ia menjadi sebab utama kehancuran tamadun," katanya.


Beliau menegaskan bahawa ekstremisme tidak akan bertapak dalam masyarakat sekiranya umat Islam memahami struktur besar dan kerangka syariat sebagaimana dicontohkan oleh Rasulullah SAW. Menurutnya, ekstremisme lahir daripada salah faham terhadap bingkai ajaran Islam.


Tambahnya, bahaya ekstremisme semakin ketara apabila ia dilakukan atas nama agama.


"Golongan ekstremis sering memetik ayat atau dalil sesuka hati mengikut hawa nafsu dan kepentingan politik untuk mewajarkan tindakan mereka," ujarnya.


Beliau turut menegur budaya menyalahgunakan ayat mengenai hukum Allah untuk menuduh orang lain sebagai kafir hanya kerana tidak melaksanakan hukum tertentu dalam negara. Fenomena seperti ini, jelasnya, telah menumbuhkan fahaman ekstrem termasuk budaya takfiri — iaitu mengkafirkan sesama umat Islam.


Beliau menegaskan bahawa memahami kerangka sebenar ajaran Islam adalah kunci bagi mengekang budaya melampau yang berpotensi meruntuhkan tamadun dan memecah-belahkan umat.


Forum berkenaan menghimpunkan para peserta termasuk sarjana, aktivis masyarakat dan penggerak komuniti bagi membincangkan pendekatan Islam yang sederhana serta langkah menangani ekstremisme secara holistik dalam konteks Malaysia hari ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page