top of page

Eksport durian ke China cecah RM6.38b, persaingan makin banyak - Sim

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 8
  • 2 min read

ree

Jumlah eksport durian Malaysia ke pasaran China mencatatkan nilai keseluruhan RM6.381 bilion sejak tahun 2018, menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, yang menyifatkannya sebagai perkembangan memberangsangkan bagi komoditi pertanian negara.


Menurutnya, hal itu dinyatakan dalam jawapan bertulis Parlimen semalam mengenai pertanyaan beliau berkaitan eksport durian sejuk beku biji, pulp dan paste, serta durian segar ke China bagi tempoh 2018 hingga 2025.


"Secara keseluruhan, pengeksportan durian ke China amat memberangsangkan dan menunjukkan pertumbuhan yang positif dari tahun ke tahun," katanya yang juga mantan Timbalan Menteri Pertanian pada era Kerajaan Pakatan Harapan (2018 - 2020).


Bagaimanapun, Tze Tzin menjelaskan data eksport menunjukkan sedikit penurunan pada tahun 2024 dan 2025 disebabkan oleh faktor cuaca yang tidak menentu yang menjejaskan hasil pengeluaran buah.


Sim Tze Tzin
Sim Tze Tzin

"Berdasarkan perbincangan saya semalam dengan para pengusaha eksport durian, terdapat beberapa cabaran yang sedang dihadapi oleh industri durian kita.


"Perubahan iklim yang menyebabkan hujan berlebihan telah mengurangkan hasil pengeluaran durian," ujarnya.


Selain itu, beliau turut menegaskan dua lagi cabaran utama yang dihadapi industri durian Malaysia iaitu kelembapan ekonomi China yang mengurangkan permintaan serta persaingan semakin sengit daripada negara pengeluar lain seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia.


Bagi memastikan daya tahan industri durian tempatan, Tze Tzin mengemukakan beberapa cadangan termasuk memajukan sektor hiliran bernilai tinggi seperti pengeluaran aiskrim, kek dan jem durian.


"Pengusaha durian harus memajukan sektor hiliran bernilai tinggi seperti pembuatan aiskrim durian, kek durian dan jem durian, sebagai usaha meningkatkan daya tahan industri," ujarnya.


Beliau turut menyeru kerajaan agar tidak terlalu bergantung kepada pasaran tunggal China, sebaliknya memperluaskan pasaran eksport ke Amerika Syarikat, Australia, Kanada dan United Kingdom bagi memastikan kelangsungan industri durian Malaysia.


"Pengusaha durian harus terus berusaha bersama dengan Jabatan Pertanian untuk memajukan industri. Kerjasama kerajaan-pengusaha amat penting," katanya lagi.


Beliau juga menekankan pentingnya pengusaha industri berdisiplin mengelakkan segala transhipment durian yang diharamkan oleh negara pengimport. Hal itu sekiranya berlaku, kata Tze Tzin akan menjejaskan nama baik durian Malaysia.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page