Ekosistem TVET diperkukuh hadapi cabaran global - Ramanan
- Azuan Ab Rahman

- 58 minutes ago
- 1 min read

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan terus memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri masa depan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan (gambar) berkata, TVET kini menjadi agenda strategik negara dalam memperkukuh daya saing ekonomi, khususnya ketika dunia berdepan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), automasi dan digitalisasi.
"TVET bukan sekadar sistem latihan kemahiran, tetapi asas kepada ketahanan ekonomi, kekuatan industri dan masa depan daya saing negara," katanya dalam kenyataan bersempena Sambutan Hari TVET Negara 2026.
Menurut beliau, kadar kebolehpasaran graduan institusi latihan di bawah KESUMA kini mencapai 95.5 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan, manakala 85.1 peratus bekerja dalam bidang berkaitan latihan yang diikuti.
Dalam masa sama jelasnya, kadar kepuasan majikan mencecah 97.2 peratus sekali gus membuktikan kualiti latihan dan kesepadanan tinggi antara program yang ditawarkan dengan keperluan sebenar industr,
"TVET KESUMA akan terus memperkukuh pembangunan bakat negara melalui latihan berpacukan industri yang disokong oleh penglibatan aktif Badan Peneraju Industri (ILB) dan Future Skills Talent Council (FSTC).
"Bagi pengambilan UP_TVET Perdana Julai 2026 sahaja, lebih 20,000 tempat pengajian ditawarkan melibatkan 315 institusi TVET di seluruh negara, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada golongan muda mendapatkan latihan kemahiran berkualiti," tambahnya.
Katanya, latihan TVET kini merangkumi pelbagai bidang berimpak tinggi termasuk semikonduktor, robotik, keselamatan siber, aeroangkasa, tenaga boleh baharu dan teknologi hidrogen, selain diperkukuh melalui kerjasama strategik dengan syarikat industri terkemuka.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan memperluas akses TVET kepada semua lapisan masyarakat menerusi pendekatan TVET Inklusif MADANI serta usaha memperkukuh tadbir urus sektor itu melalui reformasi Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652).




Comments