top of page

Ekonomi tumbuh kukuh, pembangkang berpecah-belah - Faiz Fadzil

  • 2 hours ago
  • 2 min read

Oleh: Helmi Foad


Pencapaian ekonomi negara yang terus mencatat pertumbuhan kukuh membuktikan keberkesanan pentadbiran Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil (gambar) berkata momentum pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang direkodkan bukan sekadar angka sebaliknya mencerminkan pemulihan keyakinan pelabur, peningkatan aktiviti domestik serta keberkesanan pembaharuan fiskal dan struktur yang dilaksanakan kerajaan secara konsisten sejak dua tahun lalu.


"Apabila KDNK melonjak dan melepasi jangkaan, itu bermakna sektor perniagaan kembali rancak, peluang pekerjaan bertambah dan pendapatan rakyat meningkat.


"Ini hasil dasar yang jelas, kepimpinan yang tegas serta kestabilan politik yang kita pertahankan tanpa kompromi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Terdahulu media tempatan memetik laporan Jabatan Perangkaan menyebut pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2025 melonjak kepada 6.3 peratus, kadar tertinggi dalam tempoh 12 suku berturut-turut manakala keseluruhan tahun 2025 mencatat pertumbuhan 5.2 peratus, melepasi unjuran rasmi antara 4 hingga 4.8 peratus.


"Ini bukan angka kecil, tetapi bukti bahawa dasar kerajaan yang konsisten dan berfokus akhirnya memberikan manfaat kepada rakyat," katanya.


Faiz berkata kadar inflasi juga kekal terkawal apabila menurun kepada 1.4 peratus pada 2025 berbanding 1.8 peratus pada 2024, manakala defisit fiskal terus mencatat penurunan melebihi jangkaan.


Beliau turut menegaskan pengukuhan nilai ringgit mencerminkan keyakinan pasaran terhadap kestabilan ekonomi negara, dengan mata wang tempatan kembali mengukuh sekitar RM3.90 pada sesetengah waktu dagangan.


Dalam pada itu, katanya, jumlah pelaburan diluluskan bagi tempoh Januari hingga September 2025 mencecah RM150.8 bilion, meningkat 48 peratus tahun ke tahun, sekali gus menandakan keyakinan pelabur asing terhadap hala tuju ekonomi Malaysia.


Mengulas aspek tadbir urus, beliau berkata kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 turut menunjukkan peningkatan apabila negara berada di tangga ke-54 yang terbaik sejak 2020.


Bagaimanapun, Faiz mendakwa pembangkang khususnya Perikatan Nasional (PN) masih bergolak dan gagal menawarkan dasar alternatif yang jelas kepada rakyat.


Menurutnya, kestabilan politik dan kesinambungan dasar yang dilaksanakan kerajaan hari ini menjadi asas penting kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan serta kesejahteraan rakyat.


"Rakyat perlu menilai secara objektif. Apabila negara stabil, ekonomi berkembang dan pelabur yakin, itu hasil kepimpinan yang jelas dan dasar yang konsisten. Kita tidak boleh kembali kepada ketidaktentuan politik yang hanya merugikan masa depan negara dan menyusahkan hidup rakyat," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page