top of page

Agong beri amaran, lebih ramai dalam 'radar' misi perangi rasuah

  • 2 hours ago
  • 1 min read
Yang di-Pertuan Agong dalam kenyataan medianya memberi amaran akan memerangi korupsi dalam kerajaan
Yang di-Pertuan Agong dalam kenyataan medianya memberi amaran akan memerangi korupsi dalam kerajaan

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberi amaran tegas bahawa lebih ramai pegawai dan individu berada dalam ‘radar’ baginda dalam misi memerangi rasuah tanpa kompromi merentasi semua jabatan serta agensi kerajaan.


Baginda menegaskan rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan tidak akan sama sekali ditoleransi dalam pentadbiran negara.


"Jangan ingat memerangi rasuah ini hanya bertumpu pada segelintir jabatan, atau mereka yang memberi dan menerima…, malah berhati-hati juga mereka di Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pelbagai lagi.


"Tidak terlepas juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.


"Tidak kira apa jua pangkat anda…, begitu juga ejen-ejen yang menjadi ‘orang tengah’ selain menjadi pembekal pelbagai peralatan, pakaian serta perubatan…, anda juga dalam ‘radar’," titah baginda dalam hantaran Facebook Royal Press Office (RPO) hari ini.


Sultan Ibrahim menegaskan usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat kosmetik atau sekadar retorik, sebaliknya mesti dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan kerana tiada siapa boleh terlepas daripada tindakan undang-undang.


Baginda bertitah, sekiranya terdapat pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan berintegriti, maka pertukaran perlu dilakukan tanpa berlengah demi memastikan pentadbiran kekal bersih dan berwibawa.


"Saya ada alternatif lain. Jika ada pegawai yang tidak mampu melaksanakan amanah dengan jujur, berikan peluang kepada mereka yang lebih layak dan bersih untuk menjalankan tanggungjawab itu.


"Bak kata pepatah ‘siapa makan cili, dia terasa pedas’…, jangan anda semua ingat saya tidak tahu apa-apa, saya juga mempunyai risikan saya sendiri," titah Seri Paduka Baginda.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page