Ekonomi Penjagaan pelaburan masa depan, bukan beban negara
- Suara Keadilan

- Jun 24
- 2 min read

Malaysia perlu segera memperkukuh Ekonomi Penjagaan (care economy) sebagai persediaan menghadapi peningkatan jumlah warga emas dan perubahan struktur masyarakat yang menuntut sistem sokongan lebih mampan.
Pengerusi Biro Ekonomi Penjagaan KEADILAN Selangor, Loh Ker Chean berkata, negara kini berdepan cabaran besar apabila semakin ramai warga emas memerlukan penjagaan, sedangkan golongan yang memikul tanggungjawab tersebut turut berdepan tekanan ekonomi dan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menurut beliau, ramai anak-anak terpaksa bekerja jauh daripada ibu bapa dan berdepan kekangan masa serta kewangan, menyebabkan tanggungjawab penjagaan menjadi "beban senyap" dalam keluarga.
"Jika kita tidak mula bersedia dari hari ini, negara akan berdepan krisis pengabaian warga emas, keletihan dalam kalangan penjaga atau caregiver burnout serta peningkatan masalah kesihatan mental," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, ekonomi penjagaan tidak seharusnya dilihat sebagai beban kewangan semata-mata, sebaliknya perlu dianggap sebagai satu pelaburan strategik yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, pengukuhan sektor itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang penjagaan seperti penjaga profesional, jururawat, pekerja sosial dan pengendali pusat jagaan.
Pada masa sama, lebih ramai wanita berpeluang kembali menyertai pasaran pekerjaan, sekali gus meningkatkan produktiviti negara dan mengurangkan tekanan terhadap keluarga.
Ker Chean berkata, beberapa negara maju seperti Jepun dan negara-negara Nordik telah lama melaksanakan pelaburan dalam sistem penjagaan melalui penyediaan pusat jagaan warga emas, ekosistem penjagaan komuniti, sokongan kepada penjaga keluarga dan dasar pekerjaan yang fleksibel.
"Hasilnya, ekonomi mereka menjadi lebih stabil dan masyarakat menikmati kesejahteraan yang lebih baik," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa beberapa langkah konkrit dilaksanakan segera, antaranya menyediakan insentif kepada penjaga keluarga dalam bentuk elaun atau potongan cukai, memperluas pusat jagaan berkualiti dan berkemampuan, memperkukuh latihan serta profesionalisme penjaga dan memperkenalkan dasar pekerjaan yang lebih fleksibel.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti bagi membangunkan ekosistem penjagaan yang lebih mampan.
"Ekonomi penjagaan bukan sekadar membina bangunan dan kemudahan semata-mata, tetapi tentang memelihara kemanusiaan.
"Cara kita menjaga golongan paling rentan pada hari ini akan menentukan maruah masyarakat kita pada hari esok," katanya.
Menurut beliau, persediaan menghadapi masyarakat menua perlu bermula sekarang agar Malaysia mampu membina sistem sosial yang lebih adil, inklusif dan bermaruah untuk generasi akan datang.




Comments