Ekonomi Malaysia pada landasan tepat, kurangkan defisit kepada 4.3%
- Suara Keadilan
- Feb 19, 2024
- 2 min read

Ekonomi negara berada pada landasan yang tepat untuk mengekal pertumbuhan apabila jumlah pelaburan langsung asing (FDI) meningkat dari RM7.2 bilion pada suku ketiga kepada RM17.1 bilion pada suku keempat tahun lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kadar inflasi juga menurun kepada 1.6 peratus hasil keberkesanan kerajaan melaksanakan subsidi bersasar selain pengangguran menurun kepada 3.3 peratus iaitu sama ketika prapandemik.

"Ramai yang tanya, macam mana keadaan ekonomi negara sekarang?
"Kita kena lihat pada asas ekonomi. Pelaburan perlu diutamakan, peluang pekerjaan baharu perlu diberi fokus dan harga barang hendaklah terkawal.
"Kalau lihat pada ketiga-tiga asas ini, insya-Allah kita di landasan ekonomi yang tepat. Kadar pengangguran dan inflasi menurun manakala FDI meningkat," ujarnya dalam hantaran di Facebook.
Fahmi berkata, kerajaan akan berusaha mengurangkan kadar defisit fiskal negara kepada 4.3 peratus pada tahun ini.
Beliau yang merupakan jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata defisit fiskal telah berjaya dikurangkan daripada 5.6 peratus pada 2022 kepada lima peratus tahun lepas.
"Kita tak nafikan, persekitaran luar sangat mencabar pada tahun 2023. Namun Alhamdulillah Malaysia telah mencatat pertumbuhan 3 peratus pada suku keempat 2023.
"Defisit fiskal juga telah turun. Pada tahun 2022, defisit fiskal setinggi 5.6 peratus kini dikurangkan kepada 5.0 peratus.
"Insya-Allah tahun ini kita usaha kecilkan kepada 4.3 peratus pula," ujarnya lagi.
Bank Negara Malaysia pada Jumaat lepas mengeluarkan laporan mengenai pertumbuhan Ekonomi Malaysia yang berkembang sederhana pada kadar 3.7 peratus dalam keadaan persekitaran global yang mencabar pada tahun lalu.
Pengurangan defisit fiskal merupakan antara tumpuan yang diambil oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai salah satu langkah untuk mengukuhkan ekonomi negara.
Fahmi turut berkongsi infografik pencapaian perkembangan ekonomi negara bagi suku keempat 2023 yang antara lain menyaksikan jumlah FDI merekodkan pelaburan RM17.1 billion.
Commentaires