Oleh: Omar Mokhtar
Laporan Tinjauan Ekonomi 2021 oleh Menteri Kewangan mengunjurkan penyusutan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2020 sebanyak 4.5%. Kemudian diunjurkan pula KDNK bagi tahun 2021 akan melonjak sekitar 6.5% - 7.5%.
Ramai yang menyanggah ketika itu kerana angka ini tidak realistik dengan persekitaran semasa.
Malaysian Rating Corp Bhd (MARC) telah menyasarkan penguncupan yang lebih besar sekitar - 5.7 peratus, begitu juga Bank Negara Malaysia dan Bank Dunia.
Namun dimainkan isu ketika itu bahawa pihak yang menyanggah angka-angka ini sekadar ingin bermain politik dan sengaja memberikan imej buruk kepada Kerajaan.
Kini dengan melihat penyusutan KDNK pada suku ke-4, Malaysia berada di tangga ke-2 di belakang Thailand negara yang paling tinggi penyusutan KDNK suku ke-4 bagi negara-negara ASEAN.
Penyusutan pertumbuhan Malaysia besar
Namun yang lebih membimbangkan kini adalah, walaupun penyusutan KDNK Thailand bagi suku ke-4 paling tinggi, aliran penyusutan sebenarnya mengecil bagi negara itu jika dibandingkan dengan suku ke-2 dan ke-3 KDNK 2020.
Malaysia bagaimana?
Hal ini membimbangkan kerana trend bagi Malaysia, selepas penyusutan mengecil pada suku ke-3 Malaysia menjadi negara ASEAN yang penyusutannya kembali bertambah pada suku ke-4.
Semuanya terjawab melalui kenyataan Bank Negara Malaysia serta laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan berhubung kemerosotan KDNK tahunan Malaysia bagi tahun 2020 yang berada pada tahap -5.6%.
Kini rakyat mempersoalkan adakah Menteri Kewangan menyorokkan hakikat sebenar kondisi ekonomi Malaysia demi ‘kononnya’ memberikan imej baik kepada negara?
Mereka juga tertanya-tanya adakah unjuran KDNK 2021 yang melonjak 6.5% - 7.5% itu relevan melihat kepada keadaan negara yang sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan ditambah pula dengan darurat?
Bagaimana pula dengan pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia yang merosot hingga 68%? Apakah usaha Kerajaan untuk kekalkan pelabur sedia ada serta menarik pelaburan baru?
Begitu juga rekod Indeks Persepsi Rasuah Malaysia yang menjunam ke kedudukan 57 bagi tahun 2020 (tahun 2019 ke-51, tahun 2018 ke-61) adakah ia akan memberi kesan besar terhadap keyakinan pelabur pada 2021?
Negara hadapi krisis keyakinan
KDNK menyusut, pelabur merosot dan kini dengan angka pertumbuhan yang dibentangkan Menteri Kewangan kelihatan meleset, sudah tentunya akan menjurus kepada krisis keyakinan yang serius dalam kalangan pelabur.
Apatah lagi dengan darurat yang berlanjutan sehingga bulan Ogos nanti, sudah pastinya akan memberikan kesan berganda membantutkan proses pemulihan ekonomi negara.
Menteri Kewangan dan Kerajaan Perikatan Nasional perlu segera bermuhasabah dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. Rakyat begitu sengsara kini dalam keadaan banyaknya syarikat gulung tikar ataupun mengecilkan operasi, kesan yang amat membimbangkan begitu nyata dan boleh dilihat dengan laporan berhubung peningkatan kadar pengangguran yang sudah mencecah 4.8%.
Semua ini menambahkan kerunsingan rakyat tatkala mencongak bagaimana keadaan negara ini 5 tahun lagi andai berterusan ditadbir secara semberono.
__________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Johor
Comments