Ekonomi Malaysia berisiko kuncup, perlu meminjam untuk bertahan



Ekonomi Malaysia perlu dipandu oleh seorang pemimpin yang mempunyai idea baru dalam kewangan memandangkan kesan pandemik Covid 19 yang membantutkan pertumbuhan dan mengakibatkan pengangguran dalam kalangan rakyat.


Menurut mantan Timbalan Pengarah Jabatan Ekonomi Bank Negara Malaysia, Dr Rosli Yaakob, biar pun Malaysia menanggung hutang yang besar pasca skandal 1Malaysia Development Berhad namun negara tidak mempunyai banyak pilihan dalam perancangan Belanjawan 2021 berikutan pengumuman Petronas mengalami kerugian sebanyak RM21 bilion.


Katanya, negara juga mengalami kemerosotan hasil cukai berikutan penutupan perniagaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu dan langkah-langkah pemulihan yang tidak begitu meransang sektor perniagaan, menyebabkan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 17% pada suku kedua 2020.


"Seingat saya penguncupan negatif 17% pada pertengahan pertama tahun 2020 belum pernah berlaku kepada ekonomi Malaysia.


"Ini bermakna pandemik Covid 19 telah memberi pukulan maut kepada ekonomi. Untuk membolehkan ekonomi bernafas kembali, regim PKP harus diliberalisasikan pada kadar yang wajar sejajar dengan objektif menggerakkan semula roda ekonomi, dan pada masa sama memastikan Covid 19 tidak terus menular. Dua okjektif kembar ini bukan mudah dicapai.


"Tentunya pemerintah tidak mahu ekonomi terus meleset, tidak mahu semakin ramai rakyat hilang pekerjaan dan terputus sumber pendapatan serta tidak mahu melihat semakin banyak perniagaan gulung tikar, semakin ramai orang muflis.


"Oleh yang demikian, memang boleh dijangkakan Bajet 2021 akan bersifat “expansionary budget.” Kerajaan perlu 'memasukkan wang ke suku rakyat' supaya rakyat meningkatkan perbelanjaan kerana dengan meningkatnya perbelanjaan, sama ada penggunaan mahupun pelaburan kita akan dapat melawan putaran menurun ekonomi atau menukarkannya kepada putaran menaik," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Menurut Dr Rosli lagi, pilihan yang ada untuk menggerakkan ekonomi hanyalah dengan meminjam bagi menjana perbelanjaan dalam negara biar pun hutang keseluruhan telah mencecah RM1 trilion.


Selain dari itu, katanya, rakyat Malaysia perlu menerima peningkatan hutang negara melepasi had siling 55% daripada KDNK bagi mengelakkan ekonomi meleset teruk.


"Saya kira kerajaan tidak mempunyai banyak pilihan kecuali terus berbelanja besar seperti dalam Bajet 2020 dengan cara meminjam wang. Maka, boleh dijangkakan, hutang akan terus meningkat, jauh melepasi kadar berhemat 55% dari KDNK.


"Pada masa yang sama, kerajaan akan terus meliberalisasikan PKP untuk melajukan putaran roda ekonomi. Liberalisasi harus dilaksanakan secara berhemat agar kejayaan yang telah dicapai setakat ini dalam mengawal penularan watak covid19 tidak dikorbankan," katanya lagi.


Meskipun Menteri Kewangan Tengku Zafrul baru-baru ini mendakwa ekonomi negara pada 2021 akan mencatat pertumbuhan luar biasa namun pasaran kewangan tidak begitu yakin. Indeks saham di Bursa Malaysia misalnya masih lembab dan tidak kembali ke paras sebelum tempoh PKP.


Rakyat biasa pula berjimat cermat dalam perbelanjaan yang membuat sektor peruncitan mengalami kekurangan jualan berbanding bulan Februari lalu. Kekurangan perbelanjaan dan lemahnya pusingan modal berisiko menyukarkan pemulihan ekonomi dengan pantas.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio