top of page

Ekonomi Malaysia berdaya saing, Ringgit antara paling kukuh di Asia

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 16
  • 1 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Di sebalik ketidaktentuan perdagangan global dan geopolitik dunia, ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi mantap pada separuh pertama 2025 didorong oleh permintaan domestik yang kukuh.


Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mencatat pertumbuhan 4.4% pada suku kedua 2025, sekali gus meletakkan pertumbuhan separuh pertama tahun ini pada kadar yang sama sekali gus menepati unjuran rasmi 4.0% hingga 4.8%.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kadar pengangguran menurun kepada 3.0%, inflasi keseluruhan menyederhana kepada 1.3%, manakala ringgit mengukuh 5.3% berbanding dolar AS menjadikannya antara mata wang berprestasi terbaik di Asia.


"Prestasi ini membuktikan dasar-dasar di bawah kerangka Ekonomi MADANI sedang membuahkan hasil untuk negara dan rakyat," katanya dalam kenyataan dikeluarkan kementerian.


Menurut kenyataan itu permintaan domestik melonjak 7% pada suku kedua, lebih tinggi berbanding 6% pada suku sebelumnya.


Lonjakan ini dipacu perbelanjaan isi rumah yang rancak, pasaran buruh yang kukuh, inflasi terkawal dan pelaburan sektor swasta yang memberangsangkan, ujarnya.


"Dari sudut penawaran, sektor perkhidmatan berkembang 5.1%, disokong peningkatan aktiviti pelancongan dan perbelanjaan pengguna, manakala sektor pembuatan naik 3.7% dengan pengembangan berterusan industri eksport dan domestik," kata kenyataan itu.


Beliau menambah kerajaan komited untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8% tahun ini selain memantau cabaran baharu termasuk langkah tarif antarabangsa yang boleh menjejaskan industri tertentu.


Kementerian Kewangan kini sedang merangka Belanjawan 2026 selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan fokus kepada reformasi ekonomi dan struktur supaya manfaat pertumbuhan dapat dirasai secara inklusif dan mampan oleh seluruh rakyat.


"Usaha ini penting untuk mengukuhkan asas ekonomi serta memastikan Malaysia kekal tangkas dan berdaya tahan dalam persekitaran global yang dinamik," ujar Amir Hamzah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page