Satu platform pelaburan hijau baharu untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung dari dalam atau luar negara bakal diwujudkan melalui Khazanah Nasional Bhd (Khazanah)
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah Khazanah ketiga bagi 2023 yang diadakan beberapa hari lalu, dengan peranan Khazanah dalam usaha pembangunan negara dibincangkan secara tuntas.
Tambah Anwar, beliau berharap dengan adanya platform baharu itu, ia akan membantu syarikat tempatan terutama syarikat Bumiputera sekali gus mencipta lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat.
"Kami turut membincangkan mengenai peri penting melaksanakan peralihan tenaga yang mampan bagi menjamin kelestarian ekonomi," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan pada mesyuarat itu perbincangan utama adalah mengenai pelaburan oleh Khazanah untuk mengukuhkan ekosistem ekonomi domestik yang tidak hanya kepada syarikat permulaan, tetapi juga kepada perniagaan yang sudah berjaya serta memerlukan modal mendanai pertumbuhan masa depan.
Melalui penglibatan Khazanah, inisiatif itu jelasnya, akan dapat membangunkan bakat pekerja tempatan serta meningkatkan keupayaan serta daya saing negara.
"Selaras prinsip Malaysia Madani, Khazanah perlu terus kekal berada di landasan betul dengan mandat sedia ada untuk menyampaikan manfaat ekonomi dan sosial yang mampan demi rakyat serta masa depan yang lebih baik untuk negara," kata Anwar.
Khazanah juga tegas beliau, akan terus bekerjasama dengan kerajaan menerusi strategi ‘Memajukan Malaysia’ untuk memastikan hala tujunya sejajar dengan matlamat pembangunan ekonomi negara.
"Kerajaan komited terus memacu ekonomi Malaysia ke hadapan di dalam suasana ketidaktentuan pasaran dan geopolitik global.
"Dalam hal ini, usaha menggembleng yang lebih kukuh antara sektor swasta dan juga kerajaan, sama ada di peringkat persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan mesti terus dipertingkat," tambah Ahli Parlimen Tambun itu.
Comments