
Oleh: Abdullah Zaid
Kerajaan bercadang untuk meningkatkan kekerapan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Labuan bagi mengembalikan ekonomi pulau itu sebagai kawasan tumpuan ekonomi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, cadangan tersebut masih diperhalusi di bawah kajian Rancangan Struktur Labuan 2040 sebagai anjakan perubahan untuk merancakkan ekonomi setempat.
Jelasnya, inisiatif lain termasuk meningkatkan kualiti perkhidmatan feri antara Sabah dan Labuan melalui naik taraf fasiliti, menambah bilangan pengendali feri dan kekerapan perjalanan serta mengkaji keperluan menambah baik laluan feri untuk memendekkan masa perjalanan yang sedang dipergiatkan.
"Selain itu kami juga akan membangunkan fasiliti kargo udara yang baharu secara berperingkat mengikut keperluan dan pemintaan semasa bagi menampung aktiviti kargo," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Zaliha berkata demikin bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai pelan komprehensif untuk mengembalikan kegemilangan ekonomi Labuan selain daripada menyelesaikan isu bekalan air dan elektrik di pulau bebas cukai itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan kini sedang berusaha membangunkan dan meningkatkan infrastruktur bekalan air dan elektrik di Labuan melalui agensi berkaitan.
"Antaranya, cadangan stesen jana kuasa baharu yang berkapasiti 100 hingga 130 megawatt yang akan mula beroperasi pada tahun 2028, serta program menaiktaraf dan penggantian sistem bekalan," ujarnya.
Comments