Ekonomi kreatif, industri sukan wajar jadi pelaburan strategik negara
- Suara Keadilan

- Aug 7
- 1 min read

Sektor ekonomi kreatif dan industri sukan perlu diangkat sebagai pelaburan strategik untuk memacu pertumbuhan baharu ekonomi negara, tegas Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Amirudin Shari.
Berucap ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat pada Selasa, beliau berkata kerajaan perlu menterjemah peranan sebagai pemudahcara dan market shaper kepada tindakan berani bagi membawa potensi besar kedua-dua sektor itu ke persada global.
"Jika Korea Selatan berjaya menjadikan ‘Hallyu’ atau Gelombang Korea sebagai eksport budaya dan ekonomi utama, mengapa tidak Malaysia?" ujarnya.
Menurut Amirudin, sektor ekonomi kreatif berupaya mencipta peluang pekerjaan bernilai tinggi, di samping memperkukuh identiti nasional di peringkat antarabangsa.
Beliau turut menekankan kepentingan membangunkan industri sukan secara menyeluruh, bermula dari akar umbi dan tidak hanya berfokus kepada pencapaian pingat semata-mata.
"Kita harus melihat sukan sebagai sebuah industri berbilion ringgit yang boleh mencipta peluang pekerjaan, membina generasi rakyat yang sihat serta berdaya saing," tambah Menteri Besar Selangor itu.
Dalam perbahasan juga Amirudin menyambut baik fokus RMK13 terhadap agenda transformasi sosioekonomi, pendidikan, teknologi dan tenaga. Namun, beliau menegaskan pelaksanaan dasar progresif dan berpandangan jauh adalah kunci kejayaan pelan tersebut.
beliau turut menyarankan, falsafah Entrepreneurial State seperti dihuraikan Prof Mariana Mazzucato yang menjadi inspirasi kepada penyusunan Rancangan Selangor Pertama (RS-1), wajar diperluas ke peringkat nasional.
"RMK13 mesti menjadi dokumen transformasi, bukan sekadar perancangan. Ia menuntut pelaksanaan yang berani demi masa depan Malaysia yang mampan dan kompetitif di peringkat global," tegasnya.









Comments