top of page

Ekonomi global suram tetapi M'sia catat rekod jumlah dagangan RM336.7 bilion

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 7 hours ago
  • 2 min read

Malaysia terus melakar sejarah apabila April 2026 diiktiraf sebagai bulan terbaik dalam sejarah perdagangan negara dengan jumlah dagangan mencecah RM336.7 bilion, sekali gus membuktikan ketahanan ekonomi negara di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Seri Anwar Ibrahim.


Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin (gambar) berkata, prestasi luar biasa itu diumumkan selepas Malaysia merekodkan lonjakan eksport sebanyak 36.9% tahun ke tahun kepada RM182.7 bilion, manakala import pula berjumlah RM153.9 bilion dengan lebihan dagangan mencecah RM28.7 bilion.


Katanya, pencapaian tersebut hadir ketika dunia masih berdepan ketidaktentuan ekonomi susulan konflik geopolitik, perang perdagangan global dan tekanan ekonomi antarabangsa yang turut memberi kesan sukar termasuk kepada negara ini.


Namun ujarnya, Malaysia tidak tewas di bawah kepimpinan teguh PM dan pasukan ekonomi Kerajaan MADANI yang berkeupayaan tinggi.


Jadual perdagangan luar Malaysia yang mencatat rekod tertinggi
Jadual perdagangan luar Malaysia yang mencatat rekod tertinggi

"Paling penting, lebihan dagangan Malaysia meningkat sebanyak 460.5% tahun ke tahun, membuktikan negara memperoleh manfaat besar daripada perdagangan antarabangsa sambil memperkukuh ekonomi dan menyokong nilai ringgit.


"Peningkatan import pula mencerminkan kekuatan ekonomi Malaysia yang semakin berkembang. Sebahagian besar import tersebut terdiri daripada barangan modal dan barangan perantaraan yang digunakan oleh industri tempatan untuk aktiviti pembuatan serta penambahan nilai sebelum dieksport ke pasaran global.


"Semua pencapaian ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia adalah hasil daripada pengurusan ekonomi yang konsisten, keyakinan pelabur serta kestabilan politik di bawah Kerajaan MADANI bersama MITI, MIDA, MATRADE dan agensi-agensi berkaitan yang berkeupayaan tinggi," katanya dalam satu kenyataan.


Tze Tzin yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata, sejak beberapa tahun lalu Anwar yang juga Menteri Kewangan telah melakukan lawatan ke pelbagai negara bagi memulihkan keyakinan pelabur dan menarik pelaburan berkualiti ke Malaysia.


Menurut beliau, kestabilan politik di bawah Kerajaan MADANI telah meyakinkan lebih ramai pelabur asing untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka.


Sehubungan itu, Tze Tzin yang juga Pengarah Strategi KEADILAN menyifatkan, prestasi perdagangan Malaysia sebagai satu kisah kejayaan yang membuktikan keupayaan negara mengharungi cabaran ekonomi global.


"Ia membuktikan bahawa dengan kepimpinan yang baik, kestabilan politik serta pengurusan ekonomi yang berhemah, Malaysia mampu mengatasi ketidaktentuan global dan menukar cabaran ekonomi menjadi kekuatan negara," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page