Ekonomi digital: Wujudkan ekosistem teknologi progresif - PM
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Malaysia bersedia muncul sebagai peneraju dalam ekonomi digital global dengan kepimpinan yang jelas dan ekosistem teknologi yang progresif, demikian menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, bagi tujuan itu kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Penasihat Aset Digital dan kecerdasan buatan (AI) sebagai sebuah entiti penasihat strategik.
"[Ia]...akan memainkan peranan penting untuk meletakkan negara mampu menguasai teknologi ini lantas berada di barisan hadapan dalam ekonomi digital dunia," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkata mesyuarat pertama majlis itu yang dipengerusikannya hari ini antara lainya membincangkan tentang potensi Malaysia sebagai hab utama dalam teknologi blockchain dan aset digital termasuk dalam sektor strategik seperti perdagangan rentas sempadan, industri halal dan kewangan Islam.
Dalam hal ini kata beliau mengalu-alukan kerjasama berterusan Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia, Kementerian Digital, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam memastikan dasar yang menyokong pembangunan teknologi secara bertanggungjawab dan progresif.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata fokus utama yang diberikan ketika ini ialah penggunaan teknologi seperti tokenisasi, stablecoin, aset kripto, AI, analitik data raya dan pengkomputeran awan untuk memperkasa sektor kewangan digital yang lebih cekap, selamat dan inklusif.
"Teknologi-teknologi tersebut mampu memacu inovasi dalam struktur pasaran, mempercepatkan transaksi serta memperkukuh ketelusan dan pematuhan," ujarnya.
Comments