Keengganan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan sidang parlimen lebih daripada sehari terus dipersoalkan. Bagi Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi bin Nik Ahmad, peranan Parlimen dalam mengubal undang-undang tidak boleh dihentikan ketika wabak Covid 19 semakin reda dan sektor ekonomi telah dibuka semula. Katanya, jika perniagaan dapat beroperasi sepenuhnya dengan mematuhi SOP yang ketat mengapakah Parlimen tidak boleh sedemikian? "Parlimen pada mulanya dijadualkan bersidang mulai 9 Mac hingga 16 April 2020, kemudian setelah kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan ditangguhkan ke 18 Mei hingga 23 Jun. "Apa yang menyedihkan, kini sidang Parlimen hanya diadakan sehari, iaitu upacara pembukaan pada 18 Mei. Ahli Parlimen juga tidak berpeluang untuk menghantar pertanyaan kepada Menteri. "Semasa krisis, kita telah melihat penjawat awam mampu dan berwibawa memastikan negara terus berjalan. Bagaimanapun, dalam sistem demokrasi berparlimen, Perdana Menteri dan kabinetnya bertanggungjawab kepada Parlimen. "Ini bermaksud perbahasan dan undang-undang yang mungkin diperlukan untuk mengatasi kegawatan ekonomi kesan Covid hanya akan berlaku pada sesi Julai. Malaysia tidak boleh menunggu begitu lama," katanya dalam kenyataan di Facebook. Menurut Nik Nazmi, tindakan tidak bertanggungjawab membenarkan sidang hanya sehari menyebabkan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaannya tidak akan disemak imbang terhadap sebarang keputusannya sejak pembentukan Kerajaan PN selama empat bulan lalu. "Mereka pada dasarnya akan menggunakan sumber pemerintah dan membelanjakan wang rakyat secara bebas. "Pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN juga masih belum diluluskan oleh Parlimen dan ia mesti segera dilakukan. "Ada keperluan mendesak bagi anggota Parlimen untuk mengkaji dan membincangkan pakej ekonomi, serta kemungkinan langkah-langkah lain yang harus dilakukan oleh pemerintah bagi menyelamatkan pekerjaan rakyat Malaysia. "Mengapa Kerajaan PN bersikap seperti ini? Pekerjaan, perniagaan malah nyawa sedang menjadi pertaruhan," katanya lagi. Oleh yang demikian, kata Nik Nazmi, sidang Parlimen harus berlangsung lebih panjang. Cadangan Pakatan Harapan, WARISAN dan Pengerusi BERSATU sebelum ini meminta Parlimen bersidang sekurang-kurangnya dua minggu wajar dipertimbangkan. "Muhyiddin harus mempertimbangkan perkara ini. Niat kami hanya untuk melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat membantu menyelamatkan Malaysia, rakyat dan ekonominya. "Kerajaan harus memanggil Parlimen untuk bersidang secepat mungkin dan membiarkannya bersidang sekurang-kurangnya 2 minggu," katanya.
top of page
PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA
Title | Jumlah Kes | Kematian | Pulih |
---|---|---|---|
Kes Baru | 8,075 | 76 | 15,456 |
Total | 2,285,640 | 26,759 | 2,116,021 |
Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia
PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA
Title | Jumlah Kes | Kematian | Pulih |
---|---|---|---|
Kes Baru | 393,631 | 6,015 | 582,401 |
Total | 236,060,214 | 4,821,346 | 211,396,635 |
Sumber dari WHO (World Health Organization)
bottom of page
Comentários