Ekonomi Bumiputera bakal ditingkatkan oleh Kerajaan Madani ke tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (PH-Pandan) berkata dalam memacu ekonomi Bumiputera pada masa hadapan, bukan lagi soal ekuiti menjadi keutamaan tetapi ketrampilan Bumiputera mencipta teknologi wajar diutamakan berdasarkan suasana ekonomi dunia yang telah berubah.
Rafizi berkata demikian dalam menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) dalam sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat sebelah pagi.
"Saya setuju kita kena meningkatkan penyertaan kelas profesional Melayu. Bila melihat ekonomi negara, banyak profesional sepenarnya adalah Bumiputera.
"Namun untuk menjawab apa yang disebut Larut, itu juga yang menjadi cabaran kepada kita untuk mengalihkan bentuk penyertaan terutama Bumiputera dalam bidang baru ini.
"Kelas menengah bukan Bumiputera jauh lebih cepat membentuk perusahaan sendiri yang memerlukan mereka terpaksa mencipta teknologi sendiri, modal sendiri dan produk sendiri
"Itu (menubuhkan perniagaan teknologi) perkara struktur yang kita perlu perbaiki selaras usaha kita apabila kerangka eknomi negara beralih ke teknologi tinggi, contohnya sektor elektrik dan elektronik berteknologi tinggi
"Rantaian nilai apabila kita naik ke nilai tinggi rekacipta cip, ia tidak lagi boleh dibuat dalam negara semata mata. Kalau IP dari negara kita, tetapi untuk mendapatkan prototype itu perlukan lesen dari pembuat wafer chip di dunia yang tidak banyak
"Kita memerlukan perkongsian bijak dari semua pihak terutama profesional kelas jurutera elektronik Bumiputera dan bukan Bumiputera dari sayrikat besar dan ambil risiko membentuk syarikat (bersama)," katanya.
Mengenai penstrukturan semula ekonomi Bumiputera pula, kata Rafizi, kerajaan sedang berusaha untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera berdasarkan syor Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 lalu.
"Kerajaan akan melajukan anjakan dalam pemerkasaan Bumiputera dalam memastikan hala tuju ini lebih bersifat inklusif tanpa meminggirkan sesiapa di Malaysia.
"Kerajaan akan meluaskan peranan GLC dan GLIC dalam mendukung agenda Bumiputera sebagai agenda nasional.
"Kerajaan juga sedang meneliti dan menambah baik agenda baharu pemerkasaan ekonomi Bumiputera melalui penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 lalu untuk mendapatkan input dan pandangan bagi menambah baik agenda Bumiputara," katanya lagi.
Tambah Rafizi, pelan jangka panjang agenda baharu ekonomi yang lebih segar dan inklusif ke atas semua etnik di Malaysia dijangka akan diluncurkan pada Jun 2024.
Comments