Oleh: Abdullah Zaid
Kerajaan pada ketika ini sedang giat memperkasakan syiar Islam melalui cetakan dan edaran sejuta naskhah al-Quran ke seluruh dunia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha itu penting bagi memberi makna kepada penghayatan Islam, sekali gus dapat mengekang pengaruh Islamofobia dan kebencian terhadap agama Islam.
"Ini adalah respons kepada apa yang dikatakan Islamofobia dan sikap permusuhan sehingga berlaku pembakaran al-Quran yang menyentuh hati nurani Islam.
"Cara kita menjawabnya adalah dengan menyebarkan al-Quran hingga ke Sweden dan (negara) barat lain," kata PM ketika berucap di Nasyrul Quran, Putrajaya dengan kerjasama Yayasan Restu dan Nasyrul Quran.
Jelasnya, pemahaman kitab suci itu dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam harus dipertingkatkan lagi bagi mengelak wujud percaturan yang boleh membawa kepada kejahilan.
Tambahnya, penentangan terhadap Islam dan al-Quran adalah disebabkan kejahilan yang tebal dan permusuhan warisan sejak era penjajahan sehingga wujudnya gerakan Islamofobia.
"Ada segelintir kita dengan penuh bersemangat dan kadang-kadang dengan laungan membicarakan Islam sehingga memaki hamun tanpa ada usaha mendidik serta memberi kefahaman (berkenaan Islam).
"Sebab itu saya cuba mengungkapkan dalam MADANI, walaupun ia merangkul soal negara, tatakelola, kemampanan ekonomi, ihsan dan amanah, tetapi soal nilai akhlak menjadi teras untuk agama khususnya al-Quran," katanya.
Sebelum ini media melaporkan bahawa Malaysia akan mencetak dan mengedar sejuta naskhah al-Quran ke seluruh dunia, sebagai tindak balas terhadap pembakaran kitab suci itu di Sweden.
Anwar berkata, pendekatan itu lebih berfaedah sebagai langkah menyebarkan kefahaman mengenai al-Quran supaya kandungannya dapat dihayati semua pihak tanpa mengira latar belakang fahaman dan agama.
"Ia supaya mereka (orang Barat) berpeluang membaca, memahami untuk menghayati, seperti yang kita lakukan dalam menghormati agama lain di negara ini.
"Saya berharap melalui usaha ini, kita dapat mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni dan lebih memahami serta menghormati kemanusiaan," ujarnya lagi.
Penghantaran al Quran kali ini difahamkan melibatkan 30,000 naskhah terjemahan bahasa Inggeris, diiringi dengan terjemahan bahasa Cina, ketiga buah negara iaitu Australia, Kanada dan United Kingdom.
Projek sejuta al Quran dalam pelbagai bahasa ini dicetuskan oleh PM setelah pembakaran al Quran di Sweden.
Comentarios