ECRL Sg Cincin: Projek lulus era PN, Kerajaan Selangor selesaikan isu tanah
- Redzuan Shamsudin
- Feb 24, 2024
- 2 min read

Projek Kerajaan Persekutuan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menempuh Kampung Sungai Cincin, Gombak dan menjadi kontroversi apabila pembangkang memanaskan isu pampasan tanah serta perpindahan penduduk di situ sedang diselesaikan secara baik mengikut prosedur yang betul oleh Kerajaan Negeri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pada waktu ini rundingan sedang berjalan di antara penduduk yang dipindahkan bagi laluan ECRL itu dengan Kerajaan Negeri.
Beliau juga memberi peringatan kepada pembangkang PN agar tidak memanaskan isu tersebut kerana jajaran laluan berkenaan telah dipinda pada era pentadbiran Pakatan Harapan (2018 - 2020) tetapi selepas PN berkuasa (2020 - 2022) jajaran asal yang melalui Kampung Sg Cincin diterima pakai semula.
"Sebahagian yang tentang (pengambilan tanah) ini orang PN. Kalau ikut pendirian Kerajaan Negeri sebenarnya Kerajaan Negeri pun tak setuju laluan (jajaran) utara, kita mahu laluan selatan tetapi kenapa Kerajaan Negeri berlembut ambil jajaran utara?
"Sebab pada ketika itu kita dimaklumkan kerajaan (pusat) terpaksa menanggung hutang yang panjang dan lebih banyak jumlah hutang kalau (projek) tangguh lagi.
"Mereka (pembangkang) yang bercakap itu tidak sedar bahawa mereka (sewaktu jadi kerajaan pusat) merayu kepada kita supaya menerima (jajaran utara), negara terpaksa tanggung hutang yang tinggi disebabkan keputusan ECRL sebelum itu.
"Kerajaan Negeri berlembut tetapi kena aturkan (pengambilan tanah)," katanya dalam sidang media di Majlis Perasmian Program Agrobandar Tanaman Melon di Pandan Indah, petang tadi.
Walau bagaimanapun, kata Amirudin, terdapat penduduk yang membantah perpindahan tersebut mendiami kawasan rizab kerajaan. Hal itu katanya, menyebabkan mereka tidak boleh mendapat pampasan nilai tanah dan bangunan.
"Ada sebahagian (mendiami) di tanah rizab. Di tanah rizab kita tak boleh buat apa.
"Tanah itu tanah Kementerian Pendidikan yang telah lama tidak diaturkan dengan betul. Mereka itu sebahagiannya orang luar, yang tiba tiba muncul di situ, jadi orang Kampung Sungai Cincin.
"Kita akan deal dengan penduduk (asal). Kita dah bincang. Saya akan cuba membantu. Kita ada tanggungjawab menyelesaikan projek ini," katanya lagi.
Namun Amirudin kecewa dengan sikap pembangkang dan kehadiran aktivis PN yang konon membela penduduk di situ namun mereka bukanlah orang kampung berkenaan dan tidak tahu isu sebenar yang dihadapi.
Kommentare