Dunia multipolar: Penegasan PM Anwar di SCO tolak dominasi kuasa besar
- Suara Keadilan

- Sep 8
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) membuktikan bahawa Malaysia menekankan keperluan mewujudkan dunia yang multipolar, tidak didominasi oleh mana-mana pihak atau blok tertentu.
Pakar Geostrategis, Dr Azmi Hassan berkata berdasarkan ucapan tersebut, Malaysia menegaskan sistem antarabangsa hari ini tidak boleh lagi didominasi oleh satu blok kuasa, sama ada dari sudut politik mahupun ekonomi dan Malaysia katanya, kekal konsisten memperjuangkan tata dunia baharu yang lebih adil, seimbang dan inklusif.
"Malaysia sudah lama menyokong penuh dalam membuat keputusan secara multilateral. Bila (Presiden Amerika Syarikat) Trump menggunakan tarif sebagai senjata, itu adalah (tindakan) unilateral, iaitu membuat keputusan satu hala tanpa berbincang dengan negara yang terkena tarif.
"Jadi Malaysia tidak bersetuju dengan perkara ini dan menyokong penuh organisasi ekonomi seperti WTO yang membuat keputusan ekonomi secara multilateral," kata Dr Azmi kepada Suara Keadilan.
Tambah Dr Azmi, penegasan Malaysia pada sidang SCO turut merangkumi reformasi institusi kewangan dan politik dunia, termasuk mendesak agar keputusan-keputusan besar dibuat secara kolektif melalui platform antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
"Dasar luar Malaysia daripada dulu lagi bukan sahaja multilateral tapi lebih sempit lagi bilateral.
"Apabila kita berbincang hal ekonomi, geopolitik, semua negara perlu bersetuju, semua negara perlu ada suara mereka," kata Dr Azmi mengulas jemputan kepada Malaysia untuk menyertai blok alternatif BRICS.
Mengulas sokongan China bagi menyegerakan penyertaan Malaysia ke dalam BRICS Dr Azmi berkata, perkara tersebut merupakan penghormatan kepada Malaysia sebagai negara pertama dari Asia Tenggara khususnya ketika Malaysia dalam kepengerusian ASEAN.
Kata Dr Azmi, dasar luar Malaysia yang berkecuali dalam konteks kebebasan perdagangan sentiasa dihormati merupakan sesuatu yang jarang dilakukan oleh negara kedua dan ketiga.
"China memang menantikan Malaysia menyertai BRICS sebelum Trump menjadi presiden lagi, sebelum Trump mengenakan senjata tarif untuk memberi tekanan.
"Jadi penyertaan Malaysia ke dalam BRICS itu adalah dikatakan untuk mendapat suara dan landasan yang lebih kuat bagi negara-negara kecil seperti Malaysia yang dikatakan berada dalam kelompok Selatan Global.
"Beijing memahami perkara ini. (Malaysia) bukannya masuk BRICS kerana nak elak tarif Trump (atau) kerana nak kendurkan tarif Trump.
"Tapi mahukan landasan antarabangsa bukan sahaja dari segi geopolitik tetapi juga daripada ekonomi.
"China, salah satu tonggak BRICS menyokong penyertaan Malaysia sebagai ahli penuh menggambarkan bahawa China mempunyai keyakinan kepada Malaysia yang dapat memberi nilai tambah kepada pertubuhan BRICS," ujar Dr Azmi lanjut.









Comments