Dunia lihat pendirian kerajaan Malaysia anti israel - Nik Nazmi
- Redzuan Shamsudin

- Jan 1, 2024
- 2 min read

Perhimpunan dan kenyataan anti Israel dari kerajaan dan rakyat Malaysia menjelaskan pendirian negara yang tegas menentang kezaliman rejim zionis terhadap rakyat Palestin.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, rakyat Malaysia boleh berbangga dengan perjuangan panjang negara ini menentang kezaliman sama ada di Afrika Selatan dahulunya dan kini di Israel.
"Malam ini kita berhimpun bukan untuk sambut tahun baharu tetapi kita menghantar mesej yang jelas kepada dunia bahawa rakyat Malaysia bersama orang Palestin.

"Kita boleh berbangga, bagi negara kita ada sejarah yang lama. Pada 1960an negara kita merupakan antara paling awal menunjukkan pendirian menolak apartheid yang berlaku di Afrika Selatan.
"Kita terkenal kerana kita membela rakyat yang tinggal di Bosnia pada 1990an. Dalam sejarah, kita bersuara untuk rakyat Palestin dengan sejarah yang lama. Tahun ini kita lihat pendirian kerajaan yang sangat jelas (anti Israel) dan telah mendapat perhatian daripada negara luar.
"Kita tahu suara yang mempertahankan rakyat Palestin ini mewakili seluruh rakyat Malaysia, bukan hanya orang Melayu - Islam tetapi rakyat Malaysia pelbagai kaum seperi mana yang kita lihat hari ini," katanya dalam ceramah grand finale 'Kepung Demi Palestin' di luar kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur malam tadi.
Tegas Naib Presiden KEADILAN itu, rakyat tidak boleh hanya melihat kekejaman berterusan di Palestin.
Sebaliknya, mereka perlu bersolidariti dan memberi sokongan sama ada dari segi moral atau bantuan kewangan bagi membebaskan Palestin daripada penindasan Israel.

"Kita tidak boleh melihat lagi. Sudah cukup wujudnya apartheid di Afrika Selatan dan sekarang apartheid di Israel. Sebab itu Nelson Madela pernah berkata, selagi mana isu di Palestin tidak selesai kita tidak akan bebas
"Malah satu ketika dahulu negara barat pernah melabel parti ANC, parti Nelson Madela sebagai pengganas. Label sama yang digunakan ke atas Palestin hari ini. Sedangkan dunia lihat bukan sahaja negara Arab, Afrika, malah Amerika Latin bersuara kerana mereka melihat pelanggaran hak asasi berlaku di Palestin.
"Mereka telah melihat bagaimana bukan sahaja orang lelaki, dewasa, malah wanita, kanak kanak hatta bayi sekalipun menjadi korban di Palestin
"Kita nak hantar mesej jelas bahawa rakyat di seluruh dunia termasuk di Malaysia, kita tidak akan berdiam diri selagi mana hak rakyat Palestin tidak dihormati," katanya lagi.
Perhimpunan atau piket 'Kepung Demi Palestin' di luar Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur malah tadi tiba pada kemuncaknya dengan ucapan para tokoh politik, NGO serta agama mengecam Israel dan AS.
Sejak 5 hari lalu piket tersebut telah menyaksikan aktivis berkhemah di kawasan parking bertentangan Kedutaan AS bagi menunjukkan solidariti ke atas rakyat Palestin. Pelbagai acara mengecam keganasan Israel dianjurkan sepanjang 'kepungan' tersebut berlangsung.




Comments