top of page

Dunia berdepan badai cabaran global, bina ketahanan berpaksikan kemanusiaan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 minutes ago
  • 2 min read

PM Anwar menekankan keperluan menempuh cabaran global dengan berpaksikan prinsip kemanusiaan
PM Anwar menekankan keperluan menempuh cabaran global dengan berpaksikan prinsip kemanusiaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa dunia kini sedang berdepan badai cabaran global yang semakin hebat dan memerlukan tindakan segera, jujur serta berpaksikan kemanusiaan.


Dalam kenyataan beliau seusai berada di pentas Sidang Kemuncak G20 di Johannesburg, Afrika Selatan, PM menekankan perlunya suara rantau Asia Tenggara diangkat sebagai sebahagian daripada hala tuju global.


"Berada di pentas G20 semalam mengingatkan saya betapa dunia sedang bergerak pantas sambil mengendong dan menghadapkan kita dengan badai rempuhan tantangan dan juga harapan," katanya dalam muat naik di media sosial.


Menurut Anwar, ketika negara-negara besar membincangkan masa depan iklim, keselamatan makanan dan peralihan tenaga, Malaysia membawa suara ASEAN — sebuah rantau yang sekian lama berhadapan risiko bencana dan tekanan krisis iklim.


"Pengalaman ASEAN telah menjadi petunjuk bahawa daya tahan tidak hanya terbina pada saat kemelut, tetapi mesti terpacul melalui pelaburan dan pendanaan awal, termasuk sistem amaran awal, dan kerjasama rentas sempadan yang berpaksikan kemanusiaan.


"Di ruang bicara yang sangat bertenaga itu, saya mengangkat satu hakikat yang tidak mampu disembunyikan di balik retorik mual, yakni bahawa tuntutan tenaga dunia masih belum selari dengan kemampuan teknologi bersih dalam mencapai matlamat tersebut.


"Dalam hal ini, kita mesti jujur, pragmatik dan berani. Ditegaskan Malaysia sedang gigih melabur dalam teknologi yang mengurangkan jejak karbon dan dampaknya, dan ia mencakup dari CCUS hingga kepada rangkaian tenaga serantau, kerana ini jalan sebenar untuk memastikan peralihan tenaga tidak hanya tinggal slogan semata tetapi mesti menjadi jalur yang dapat ditempuh oleh rakyat terbanyak tanpa menanggung beban yang memeritkan," katanya.

Perdana Menteri turut membawa mesej jelas bahawa sebarang agenda pembangunan tidak bermakna sekiranya manusia dipinggirkan.


Malaysia, tegasnya, komited untuk bekerjasama di peringkat global dan serantau bagi memastikan ketahanan, keadilan dan kesejahteraan benar-benar dirasai rakyat, bukan hanya menjadi wacana elit.


Sebelum itu, dalam sesi plenari G20, PM menarik perhatian dunia terhadap tragedi kemanusiaan yang sedang melanda Gaza, Sudan dan Ukraine.


"Saya menyatakan kepada semua negara yang hadir bahawa kita sedang berhimpun di sebuah benua yang pernah dirundung dasar apartheid yang bobrok, dan luka yang ditinggalkan sangat membekas, dan ini menjadi hujah pokok saya dalam menggesa kezaliman dan pembantaian di Gaza dihentikan, serta berusaha untuk mengakhiri kemelut di Sudan serta mencari penyelesaian damai di Ukraine," jelasnya.


Malaysia, dalam pada itu turut berkongsi pengalaman ASEAN dalam mendepani tekanan politik, gangguan tarif, rantaian bekalan yang lemah serta perubahan teknologi drastik.


"Pengajaran dari itu tersedia jelas yakni ketahanan tidak lahir dari ‘isolation’, tetapi terjelma dari dasar yang sepadu dan kerangka peraturan yang boleh dijangka. Justeru, saya tegaskan betapa gelombang AI akan mengubah corak pasaran kerja dan ia akan menjadi jauh lebih rumit sekiranya negara tidak bersedia dengan rempuhan gelombang tersebut.


"Saya turut sentuh bahawa dunia tidak mampu membina daya tahan global sekiranya kita terus dirundung kelesuan fiskal, tatkala banyak negara sedang berbelanja lebih untuk mendepani permasalahan hutang ketimbang pendidikan," ujarnya.


Anwar turut menegaskan dunia tidak mampu membina ketahanan global sekiranya negara terus berbelanja besar untuk menangani hutang berbanding pendidikan.


"Kita mesti melabur sebelum kemelut merempuh, bukan selepas," katanya sambil menegaskan komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama bagi memperkukuh ekonomi global yang stabil, terbuka dan memberi peluang adil kepada semua.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page