DUN Sungai Kandis hampir 90% dibersihkan

Updated: Dec 28, 2021



Pasca banjir di DUN Sungai Kandis, proses pembersihan giat dilakukan dengan hampir 90% kawasan dibersihkan sehingga kini.


Menurut Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Mughni, Pusat Penempatan Sementara di DUN itu juga telah banyak ditutup berikutan hampir keseluruhan kawasan telah kering dari genangan air.


"Selepas hari keenam, proses pemulihan telah 90%. Di DUN Sungai Kandis ada 23 pusat pemindahan tetapi kebanyakan dah tutup, ada satu dua yang tinggal.


"Semua kawasan telah atau sedang dibersihkan, tetapi tidak separah kawasan ini," katanya kepada Suara Keadilan ketika membuat tinjauan operasi pembersihan di kawasan penempatan Bukit Lanchong, Daerah Petaling Jaya.


Menurut beliau, selain Sri Muda, Bukit Lanchong adalah kawasan yang paling terjejas teruk akibat banjir kerana ban yang meninggikan tebing sungai di kawasan berkenaan pecah dan air banjir menenggelamkan kebanyakan rumah.


"Sri Muda, Bukit Lanchong paling teruk. Bila ban pecah air sungai masuk deras bila air (laut) pasang. Itu menambahkan lagi parah banjir.


"Di seberang sana, Kampung Lombong, ban pecah juga tetapi hari berikutnya penduduk telah menambak kawasan pecah itu dengan batu kerikil sebanyak 200 lori (mengurangkan kesan banjir).


"Inisiatif dari penduduk, dari pemilik kuari dan pemilik lori. Mereka tambak dahulu sementara menunggu JPS (untuk melakukan pembaikan kekal)," katanya lagi.


Operasi pembersihan dilakukan dari rumah ke rumah dengan Pihak Berkuasa Tempatan dibantu sukarelawan menggunakan water jet atau pam air berkuasa tinggi bagi membersihkan lumpur yang melekat di lantai atau dinding.


Manakala KDEB Waste dan lori lori angkut bahan buangan lain masuk untuk memunggah perabot dan segala jenis sampah domestik yang ditinggalkan di hadapan rumah penduduk.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA