
Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar mengagihkan bantuan bakul makanan kepada golongan yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, semalam.
Berbanding penghantaran dari rumah ke rumah, kali ini Halimey memperuntukkan 100 bakul atau beg makanan kepada pemandu van sekolah, pemandu teksi dan penghantar makanan (rider) yang datang ke pusat khidmat beliau untuk mengambil bakul secara pandu lalu.
"Bantuan pada hari ini DUN Seri Setia, kita beri dalam pelbagai peringkat. Yang pertama kepada rider, 20 pek makanan. Kita juga bagi kepada pemandu bas sekolah atau van sekolah yang terkesan. Kita beri pemandu teksi. Seterusnya kita agih kepada penduduk. Wakil mereka akan datang ke sini untuk ambil.
"Hampir 100 pek kita sediakan. Untuk rider kita buat dengan kerjasama wakil Penggerak DUN Selangor di Seri Setia. Ada kalangan belia kawasan Seri Setia yang jadi penghantar makanan, kita ambil nama mereka.
"Sebelum ini kita ada beri. Hari ini kita beri buat kali kedua," katanya.

Menurut beliau, sehingga bulan Julai tahun ini 4,000 beg makanan telah diagihkan kepada penduduk Seri Setia.
Sambutan dalam kalangan warga pula, katanya baik dan amat menghargai bantuan yang diberikan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.
Berkenaan pakej data internet percuma Selangor pula, Halimey berkata, pihak DUN Seri Setia telah mula mengeluarkan borang permohonan bantuan tersebut di Google Form, dan sesiapa yang berminat boleh mengisi butir-butir peribadi mereka di sana.
"Di bawah inisiatif Kita Selangor 2.0 Kerajaan Negeri menyediakan data internet Selangor secara percuma kepada beberapa golongan.
"Pihak DUN Seri Setia diminta mencari 200 pemohon, di mana mereka ini golongan berpendapatan rendah yang amat memerlukan data internet. Kita faham anak-anak kita pun menggunakan data internet tersebut.
"Melibatkan beberapa syarikat seperti Celcom, Unifi, Digi dan sebagainya. Di DUN kita mula edarkan borang google form untuk kita cari siapa yang layak. Sasaran kepada ibu tunggal, pelajar juga pelbagai peringkat umur.
"Tarikh tutup permohonan pada 15 September ini dan kad SIM akan diberi pada 1 Oktober," katanya lagi.