DUN Rantau: Keperluan anak muda, fasiliti sukan antara fokus Dr Hakim
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Keperluan golongan muda termasuk penyediaan fasiliti sukan lebih baik menjadi antara fokus calon Pakatan Harapan bagi kerusi N.27 DUN Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi dalam usaha membangunkan potensi generasi baharu di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, kemudahan sukan seperti gelanggang papan selaju (skateboard) di Green Park, Sendayan yang dilihat kurang terurus perlu diberi perhatian kerana mempunyai potensi melahirkan bakat baharu dalam kalangan anak muda.
Menurutnya, walaupun sukan skateboard masih belum menjadi sukan arus perdana di Malaysia, ia mendapat sambutan baik khususnya dalam kalangan belia dan mempunyai potensi untuk dikembangkan ke peringkat lebih tinggi.
"Di sini kita nampak tempat skateboard ini agak usang. Kita cuba bawa semangat yang dibawa Senator Dr Jufitri Joha untuk membangunkan tempat ini kerana kita ada pemain-pemain berbakat tetapi fasiliti masih belum berada pada tahap yang baik.
"Kalau kita menang, kita mahu naik taraf tempat ini selaras dengan aspirasi anak muda khususnya dalam sukan skateboard," katanya ketika ditemui ketika meninjau kemudahan berkenaan di Green Park, Sendayan.
Dr Azizul Hakim berkata, di Seremban ketika ini hanya terdapat hanya dua lokasi untuk aktiviti skateboard dan sebahagian daripadanya masih memerlukan penambahbaikan dari segi kemudahan.

Katanya, pembangunan fasiliti sukan bukan sahaja memberi ruang kepada anak muda mengembangkan bakat, malah mampu menjadi medium membentuk gaya hidup sihat serta mengelakkan mereka terlibat dengan aktiviti tidak bermanfaat.
"Daripada sudut sukan, ini adalah sukan yang baik dan perlu diberi perhatian. Dengan bakat yang ada, kita harap ia dapat dikembangkan supaya pemain-pemain tempatan mampu pergi lebih jauh sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya.
Beliau berkata, anak muda perlu diberikan sokongan dalam pelbagai bidang termasuk sukan, kepimpinan dan ekonomi kerana golongan itu merupakan tunjang masa depan negara.
"Anak muda adalah tunjang dan nadi kepada rakyat Malaysia sekarang ini. Di DUN Rantau, lebih 55 peratus pengundi adalah golongan muda, jadi kita perlu beri perhatian penuh kepada apa yang mereka perlukan.
"Saya sebagai calon anak muda, saya faham aspirasi anak muda dan mahu suara mereka diberi tempat," kata Dr Hakim menjelaskan, kemudahan sukan yang baik juga penting dalam memastikan anak muda mempunyai ruang untuk membina potensi diri.
"Bila sesuatu sukan itu ada fasiliti yang baik, ia lebih mudah berkembang. Bola sepak sudah menjadi arus perdana kerana ada sokongan dan kemudahan. Sukan seperti skateboard juga boleh pergi jauh jika diberi perhatian.
"Malah skateboard sudah menjadi acara Olimpik, tetapi untuk Malaysia kita perlu pastikan bakat dan fasiliti dibangunkan dengan lebih serius," katanya lagi.




Comments