DUN Rahang: Nenek bawa empat cucu mengundi
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Semangat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi jelas terpancar di Pusat Mengundi Pejabat RISDA, DUN Rahang apabila seorang nenek sanggup membawa empat cucunya yang masih kecil untuk bersama-sama hadir mengundi.
Norazni Mansor, 62, berkata, beliau tidak mahu melepaskan peluang mengundi walaupun perlu menjaga cucu-cucunya kerana anaknya bekerja pada hari pengundian.
"Sebenarnya anak saya bekerja hari ini, jadi saya terpaksa membawa kesemua cucu ke pusat mengundi.
"Sebagai rakyat Malaysia, ini adalah tugas kita untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.
"Sebab itu saya sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk mengundi pada hari ini," katanya ketika ditemui.
Turut mencuri perhatian ialah seorang warga emas, Loh Sau Lan, 82, yang hadir ke pusat mengundi dengan menaiki kerusi roda dan diiringi cucunya.

Sau Lan yang merupakan orang kurang upaya (OKU) berkata, faktor usia dan keadaan kesihatan bukan penghalang untuk beliau melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat.
"Saya rasa ini tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia.
"Walaupun saya tidak sihat dan uzur, saya mahu memastikan sistem demokrasi terus disuburkan dengan menunaikan tanggungjawab mengundi pada hari ini," kata beliau.
Kehadiran kedua-dua pengundi itu mencerminkan komitmen rakyat pelbagai lapisan usia untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi, sekali gus menunjukkan bahawa hak mengundi terus dihargai walaupun berdepan pelbagai cabaran.




Comments