Kerajaan Negeri Sembilan akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Jun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Bilik Gerakan Wisma Negeri pada Rabu, beliau berkata pembubaran itu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Bagaimanapun jelasnya, beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dalam masa terdekat bagi mempersembahkan perkara berkenaan.
"Insya-Allah dalam tempoh terdekat saya akan maklum pada Tuanku dan saya sudah beritahu awal, kita akan bubar pada 30 haribulan, bermakna 1 Julai itu akan terbubar," jelasnya.
Negeri Sembilan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN termasuk Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH memenangi 20 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan manakala bakinya iaitu 16 kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN).
Pada PRN ini, PH dan BN menjalin kerjasama politik, ia susulan kerjasama di peringkat persekutuan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Dalam pada itu, mengulas soal pembahagian kerusi, beliau berkata, PH negeri kini menyerahkan kepada pihak Majlis Presiden PH bagi memuktamadkan rundingan bersama Barisan Nasional (BN).
Katanya ia termasuk dua kerusi tambahan yang diminta oleh UMNO Negeri Sembilan dalam rundingan sebelum ini.
Comments