DUN Moyog: Percepat bina Hospital Penampang, laksana tebatan banjir
- Suara Keadilan
- 13 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi N26 Moyog, Remysta Jimmy Taylor merancang untuk menyediakan pelan pembangunan Penampang yang meliputi program selama sedekad hingga 2035 dengan berasaskan kepada keutamaan rakyat.
Beliau menjelaskan objektifnya sederhana tetapi lebih teratur dan sistematik antaranya mempercepatkan pembinaan projek Hospital Penampang dan memperluaskan akses jalan.
"Kalau kita tengok di Moyog, kebanyakan kawasan masih belum ada akses jalan dan susah orang mahu melimpas (lalu).
"Jadi kita memperbanyakkan lagi ini klinik bergeraklah supaya dia boleh beri khidmat kepada lebih banyak rakyat.
"Kita tahu juga kalau mahu keluar daripada sana diambil satu jam dua jam, mungkin ini boleh menyelamatkan lagi ramai orang," katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke Pusat Media di Majulan Hotel.
Remysta berkata, beliau meletakkan komitmen untuk mempercepatkan projek Hospital Penampang memandangkan bajetnya sudah tersedia.
"Ini pun bukan isu baharu tapi itulah komitmen saya, kita mahu mempercepatkan pembinaan hospital di Penampang ini.
"Tugas kami adalah membuat pemantauan dan penyelarasan," katanya.
Beliau menjelaskan, pihaknya juga akan menggunakan pendekatan berbeza dalam mengendalikan beberapa isu lama seperti projek tebatan banjir yang sering kali dibangkitkan.
"Kita memang mahu menyelesaikan isu ini sebab sudah lama. Setiap kali pilihanraya pun dibawa.
"Pengumuman Perdana Menteri hari itu beliau ada peruntukan untuk mempercepatkan projek tebatan banjir itu. Misal kalau kita tengok di Moyog ini, orang kampung semua ini selalu terjejas," katanya.
Tambah beliau pihaknya juga mahu pusat pemindahaan sementara yang lebih lengkap dan selesa sekiranya berlaku banjir.
Dalam pada itu, Remysta menegaskan komitmen untuk meningkatkan peluang pendidikan anak muda luar bandar agar setanding dengan rakan sebaya di kawasan bandar.
Bagi tujuan itu, katanya program tuisyen percuma akan disediakan khusus untuk pelajar yang menduduki SPM dengan khidmat tenaga pengajar terdiri daripada profesional dan graduan universiti secara sukarela.
Selain pendidikan akademik, usaha turut difokuskan kepada memperkasa latihan TVET sebagai persediaan menghadapi keperluan industri menjelang 2030, kata beliau.
"Jadi kita mahu semua anak muda kita dilengkapi dengan kemahiran. Kita tengok sekarang apa-apa barang yang kita buat di luar ini dia kena ada kemahiran. Buat pendingin hawa, kereta dan lain-lain. Kita mahu ini diberi penekanan," ujarnya.





