DUN Kota Anggerik beri sumbangan Ramadan kepada 75 masjid, surau
- Suara Keadilan

- Mar 11, 2024
- 1 min read

DUN Kota Anggerik menjelang bulan Ramadan telah menganjurkan majlis pemberian sumbangan berupa wang tunai kepada 75 buah masjid dan surau di kawasan tersebut.
Menurut Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi, sumbangan berkenaan adalah bagi menyemarakkan program Ihya Ramadan yang bakal diadakan di sepanjang bulan puasa ini.
"Kita telah menyempurnakan sumbangan Ihya Ramadan 1445H kepada semua jawatankuasa pengurusan surau dan masjid di bawah pentadbiran Kota Anggerik, iaitu 75 buah masjid dan surau, termasuk musola yang beroperasi di kondominium dan pangsapuri. Kita peruntukan RM175,000 dan setiap masjid atau surau dapat RM2000
"Ini inisitif untuk membantu masjid dan surau menyemarakkan program keagamaan sempena bulan Ramadan," katanya pada majlis penyerahan sumbangan, petang semalam.
Dalam majlis sama juga, Najwan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa DUN Kota Anggerik bersama Masjid dan Surau. Jawatankuasa itu katanya, merupakan sebahagian manifesto pilihanraya peringkat DUN beliau dan akan memudahkan sebarang aduan masalah berkenaan masjid dan surau kepada wakil rakyat.
"Saya mengumumkan penubuhan Jawatankuasa DUN Kota Anggerik bersama masjid, surau. Ini manifesto yang lepas untuk kita menyelaraskan sebarang isu di kawasan ini.
Mereka ada akses yang terus dengan pejabat saya. Keperluan insfrastruktur dan penambahbaikan (rumah ibadat) terus ke pejabat kami," katanya.
Najwan berharap sumbangan yang diberikan pada hari itu dapat membantu mengimarahkan surau dan masjid sepanjang Ramadan sebagai pusat komuniti Islam di Kota Anggerik.




Comments