DUN Bubar: Hajiji Mohon Mandat Baharu Terus Bina Sabah
- Suara Keadilan

- Oct 6
- 2 min read

Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Mampukah parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan kerjasama PH memenangi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah atau PRN Sabah kali ini dengan berdepan cabaran yang dijangka sengit daripada BN, Warisan dan juga PN?
Inilah soalan yang kerap ditanya kepada penulis terutama kalangan pemerhati-pemerhati politik tanah air yang peka dengan perkembangan politik Sabah.
Begitulah terujanya mereka, apatah lagi bahang PRN Sabah sudah lama panas dan dipanas-panaskan dengan pelbagai isu yang melanda negeri di bawah bayu itu yang tidak pernah selesai.
Bagi penulis menang atau kalah calon-calon daripada parti-parti yang bertanding, ‘pemegang saham’ yang menjadi penentu adalah pengundi-pengundi yang layak mengundi dalam PRN kali ini.
Untuk penulisan kali ini, belum masanya bagi penulis mahu membuat analisis lanjut kerana tarikh penamaan calon belum diumumkan secara rasmi.
Tambahan pula masih ada lagi parti-parti yang `merahsiakan’ senarai lengkap bakal calon-calon yang bertanding mewakili parti masing-masing.
Untuk rujukan, Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi dilantik.
Sudah pasti parti-parti yang mahu merebut kerusi-kerusi DUN tersebut sudah bersedia meletakkan calon masing-masing yang diyakini mampu menawan hati pengundi.
Maksimum 60 hari tetapkan tarikh pilihanraya
Menyoroti pengumuman petang tadi, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini (6 Oktober) mengumumkan bahawa Dewan Undangan Negeri Sabah secara rasmi telah dibubarkan, sekaligus membuka laluan kepada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri atau disebut PRN ke-17 yang bakal diadakan dalam masa terdekat.

Pembubaran ini disahkan selepas Hajiji mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman.
Berdasarkan undang-undang, PRN harus diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini mempunyai tempoh maksimum 60 hari untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.
PRN kali ini dijangka menjadi ujian besar kepada kestabilan politik negeri dan gabungan pemerintah sedia ada.
Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin oleh Hajiji akan bekerjasama dengan PH dalam PRN untuk mengekalkan kuasa pemerintahan bagi penggal kedua.
Cabaran baharu, mandat baharu
Dalam kenyataan selepas mengumumkan pembubaran DUN, Hajiji secara terbuka memohon mandat baharu daripada rakyat Sabah dalam PRN tidak lama lagi atas alasan “kerja kita belum selesai”.
"Cabaran baharu menuntut penyelesaian yang berani dan kita bersedia membawa Sabah ke lembaran seterusnya.
"Dengan pembubaran ini, kami memohon mandat baharu daripada rakyat untuk meneruskan usaha yang telah kami mulakan – membina Sabah yang lebih kukuh, lebih makmur dan bersatu untuk semua," katanya yang juga Pengerusi GRS.
Beliau berkata, sepanjang lima tahun lalu, mereka telah bekerja dengan gigih untuk membawa perubahan dan pertumbuhan kepada Sabah.
Katanya, melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, mereka menetapkan Sabah pada landasan transformasi yang jelas sejak menerajui negeri ini pada pada September 2020.
Hajiji juga berkata, mereka telah mengambil langkah berani dan bertanggungjawab untuk menangani isu lama yang diwarisi terutamanya berkaitan bekalan air dan elektrik serta infrastruktur kritikal.
"Tindakan konkrit dan beberapa projek besar sedang dijalankan untuk menyelesaikan cabaran yang diwarisi ini yang telah membebankan rakyat sejak sekian lama.
"Beberapa inisiatif telah disiapkan, sementara sebahagian yang lain sedang berjalan untuk disiapkan," katanya.









Comments